TAWAU: Sekurang-kurangnya 14 kawasan penempatan dan empat jalan utama di daerah ini dinaiki air berikutan hujan lebat yang berterusan lebih satu jam pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Sharudy Delamin berkata keadaan banjir susulan hujan lebat kira-kira jam 10 malam itu, didapati berlanjutan sehingga pagi hari ini.
“Bagaimanapun, keadaan beransur pulih selepas air pasang laut mulai surut,” katanya, yang percaya banjir berlaku berikutan pertembungan air pasang laut dengan air hujan.
Sharudy berkata antara kawasan terjejas, Kg Pasir Putih Blok A dan C, Kg Lorong Hj Saddani, Batu 2 Jalan Hj Sundu, Kg Rawa-Rawa, Taman Maju Jaya dan Taman Berkeley.
Termasuk, Taman Leeka, Taman Green, Taman Villa, Taman Pasadena, Taman Mulia, Taman Da Hua 5 dan Taman Anggerik, lokasi tumpuan dari Batu 2 ke Batu 5 Jalan Apas.
Empat laluan utama yang didapati terjejas pula melibatkan Jalan Utara, Jalan Tanjung Batu Laut, Jalan Kuhara dan Jalan Chong Thien Vun selain di kawasan Bandar Tawau.
“Pasukan kita memantau keadaan menerusi rondaan dari jam 10.47 malam (Sabtu) sehingga 9.27 pagi dan mendapati air banjir setinggi 0.5 meter sehingga satu meter.
“Empat kawasan yang terjejas sehingga Ahad, melibatkan Kg Pasir Putih Blok C, Kg Lorong Hj Saddani, Batu 2 Jalan Hj Sundu dan Kg Rawa-Rawa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bencana alam yang berlaku bagaimanapun tidak melibatkan sekolah dan tidak ada keperluan untuk membuka pusat pemindahan.
Sehingga laporan berita ini ditulis, pihak bomba tidak menerima sebarang laporan kemalangan jiwa atau jumlah kerugian harta benda daripada penduduk terjejas.