Anda di sini

Lesen perniagaan zaman British disimpan rapi dua generasi

Advertisement
 Tan Yong Min, 61, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ameng’ menunjukkan lesen perniagaan berusia 65 tahun di kedainya iaitu Kopitiam Kampung Parit, Negeri Sembilan. — Gambar Bernama
DISIMPAN RAPI: Tan Yong Min, 61, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ameng’ menunjukkan lesen perniagaan berusia 65 tahun di kedainya iaitu Kopitiam Kampung Parit, Negeri Sembilan. — Gambar Bernama
 Penduduk setempat boleh menikmati sarapan pagi di belakang kedai Kopitiam Kampung Parit, Negeri Sembilan. — Gambar Bernama
SANTAI: Penduduk setempat boleh menikmati sarapan pagi di belakang kedai Kopitiam Kampung Parit, Negeri Sembilan. — Gambar Bernama

KOPITIAM Kampong Parit yang terletak di Jalan Ampang Tinggi di Kuala Pilah menyimpan sejarah tersendiri kerana lesen perniagaan pertamanya dikeluarkan pada 1953 sewaktu pemerintahan British.

Dikenali pada masa itu dengan nama Ah Meng Coffee Shop, ia dikatakan kedai kopi pertama dibuka di Kuala Pilah.

Lesen perniagaan yang berusia 65 tahun menjadi koleksi paling berharga buat keluarga Tan Yong Min, 61, tambahan ia dikeluarkan British empat tahun sebelum kemerdekaan negara.

Sehingga kini, lesen perniagaan yang berwarna coklat tanah itu masih disimpan dan dijaga rapi termasuk bersalut plastik supaya tidak rosak.

Walaupun ia sekadar sekeping lesen perniagaan yang tertera kenyataan permohonan dan juga tarikh ia diluluskan, namun dari nilai sejarahnya, ia amat berharga khususnya bagi keluarga Tan.

Dijaga tiga generasi

Menurut Tan yang juga cucu kepada pengasas kedai kopi tersebut, pihak muzium ada membuat permintaan supaya lesen asal yang tertera di atasnya perkataan ‘coffee house’ disimpan di muzium untuk tatapan generasi seterusnya.

Bagaimanapun, kata beliau, keluarganya keberatan untuk menyimpan ‘harta pusaka’ itu di muzium memandangkan ia adalah tinggalan sejarah mendiang datuknya.

Dokumen tersebut kemudiannya diwariskan kepada mendiang bapanya ,Tan Choon Hee. Pada 1989, ia diserahkan kepadanya yang merupakan generasi kedua keluarga itu.

“Datuk saya ketika itu mengayuh basikal untuk memohon lesen untuk berniaga daripada penguasa British. Ketika itu mohon pakai cakap mulut sahaja dan orang British akan datang melawat kedai di sini (Kuala Pilah) dan minum (kopi).

“Mereka datang membawa sekali borang dan menasihatkan supaya lesen dijaga sebaik mungkin kerana ia adalah peninggalan keluarga. Saya percaya ketika ini, saya satu-satunya yang memiliki lesen asli daripada pemerintah British di Negeri Sembilan,” kata Tan kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Barangan warisan

Tan yang lebih mesra dipanggil Ameng berkata, selain mewarisi lesen perniagaan, banyak perabot daripada kedai kopi yang lama seperti kerusi, meja bulat mar-mar serta gerobok kayu (almari) masih berada dalam keadaan yang baik.

“Kerusi kayu dan meja ini masih lagi kuat walaupun berusia 72 tahun. Cuma adalah satu, dua kerusi yang goyang dan uzur yang saya panggil kerusi parkinson dan tak boleh lagi digunakan. Macam gerobok kayu, Majlis Perbandaran (Kuala Pilah) tidak benarkan ia digunakan.

“Gerobok ini sebenarnya sangat kuat dan kukuh. Cicak dan tikus pun tak boleh masuk dan ketika dahulunya gerobok ini digunakan untuk menyimpan makanan. Disebabkan tidak boleh digunakan atas arahan majlis perbandaran, maka saya terpaksa menyimpannya,” katanya.

Tambah Tan, pihaknya terpaksa menggunakan cawan kopitiam serta piring yang lain tetapi masih mengekalkan corak lama bagi memastikan nostalgia zaman dahulu terus dapat dikekalkan.

Kata beliau, lokasi perniagaan kedai kopinya hari ini adalah lokasi asal perniagaan yang diusahakan mendiang datuk dan bapanya. Cuma bangunan kedai dinaik taraf daripada kayu kepada separuh batu.

Kedai tumpuan tentera  British dan penduduk

Mengimbau kembali sejarah kedai berusia tujuh dekad itu, Tan berkata kedai kopi datuknya menjadi tumpuan anggota tentera British yang datang untuk ‘beristirahat sambil menikmati kopi, teh dan roti bakar’.

Di samping kedai kopi tersebut, cuma ada sebuah kedai runcit yang dipanggil gedung pada zaman itu. Kedua-dua kedai itu antara kedai terawal di Kuala Pilah.

“Mereka akan datang sini untuk minum kopi dan juga air botol Long Chan yang mempunyai pelbagai perisa seperti sarsi, oren, anggur dan lain-lain. Masa itu harganya murah dalam 20 sen ke 30 sen. Dulu sebelum zaman merdeka, orang kampung pagi-pagi akan pergi menoreh getah dan petang mereka akan datang sini minum kopi.

“Kopi yang kami sediakan sejak dari dahulu lagi adalah kopi yang diproses secara tradisional dan diambil daripada kilang di Kepong, Kuala Lumpur. Kopi ini tiada dalam pasaran dan ia dihantar ke kedai-kedai macam saya dan dalam Malaysia dalam 50 hingga 60 kedai sahaja,” katanya.

Selain anggota tentera British, kedai turun-temurun itu turut menjadi tumpuan warga asing yang lain termasuk anggota Tentera Laut Australia.

Hari ini, Kopitiam Kampong Parit terus menjadi tumpuan pelbagai kaum.

“Kedai saya menjadi medan untuk berbincang berkaitan bisnes, kerja dan sebagainya dan dikunjungi semua kaum. Tiada yang cerita perkauman di sini. Apa yang dapat didengar di sini adalah gelak ketawa semua kaum dalam kedai ini.

“Soal perbezaan politik, letak di luar kedai. Kedai ini seperti mana semangat dahulunya adalah untuk mengeratkan perpaduan antara kaum dan saling menghormati,” katanya. — Bernama

Advertisement