Anda di sini

Wau Animation peruntuk RM5.5 juta untuk ‘Ejen Ali The Movie’

Advertisement

WAU Animation, pencipta siri animasi 3D Ejen Ali memperuntukkan RM5.5 juta bagi pembikinan filem pertama ejen rahsia cilik, ‘Ejen Ali The Movie’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Usamah Zaid berkata, filem yang kini giat dalam proses pembikinan itu dijangka ditayangkan pada penghujung tahun depan.

“Seperti pembikinan siri Ejen Ali sebelum ini, sebahagian kos pelaburan filem ini adalah daripada Wau Animation dan Media Prima, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menyalurkan dana untuk tujuan tersebut,” katanya kepada media selepas tayangan treler filem tersebut di kelmarin.

Tayangan treler Ejen Ali dilancarkan bersempena ‘Kre8tif! 2018 Conference & Creative Content Festival’ yang dianjurkan oleh MDEC.

Usamah berkata filem animasi kesan khas yang menggunakan kemahiran dan kepakaran anak tempatan sepenuhnya itu turut menyasarkan tayangan di seluruh rantau Asia.

“Siri animasi Ejen Ali telah ditonton di seluruh 13 negara di rantau ini dan Indonesia adalah negara luar pertama yang akan kita promosikan untuk filem pertama ini memandangkan ia mempunyai peminat yang ramai di sana malah mencatat posisi antara tiga program kanak-kanak paling popular di saluran MNCTV,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin mengumumkan kolaborasi di antara Primework Studios dan tiga studio animasi tempatan iaitu Blindspot Studios, Giggle Garage dan R&D Studio dalam projek penghasilan siri animasi baharu.

“Di samping itu, LemonSky Animation, pencipta ‘AstoroLology’, memeterai pelbagai perjanjian lesen dan edaran antarabangsa dengan Lotta, syarikat China dan Imira Entertainment (Sepanyol) serta perkongsian dengan YouTube menerusi Wildbrain (Amerika Syarikat) dan YoBoHo New Media (India),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Animasia Studio, pasukan di belakang ‘Chuck Chicken’, menandatangani pelbagai perjanjian perkongsian lesen dan barangan dengan syarikat Australia, Koala Popcorn untuk melancarkan bertih jagung Chuck Chicken; Foodie4U (Malaysia) untuk menghasilkan biskut bertemakan Chuck Chicken manakala syarikat Sepanyol Kidzworld SL akan mengeluarkan produk konfeksi bertemakan Chuck Chicken.

“Animasia juga memeterai perjanjian dengan syarikat Malaysia, MCM Studio Entertainment untuk membangunkan taman tema tertutup di Johor menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Persidangan serantau dua hari itu yang bermula Rabu menghimpunkan lebih 40 peneraju industri kreatif untuk bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan selain meneroka peluang kerjasama. — Bernama

Advertisement