Anda di sini

Tipu penderma, bekas sami Thai dipenjara 114 tahun

Advertisement
 Anggota pasukan keselamatan berkawal ketika Wiraphon (bergari) tiba               untuk perbicaraannya di Mahkamah Jenayah di Bangkok, Thailand semalam. — Gambar Dailynews/Reuters
DIHUKUM PENJARA: Anggota pasukan keselamatan berkawal ketika Wiraphon (bergari) tiba untuk perbicaraannya di Mahkamah Jenayah di Bangkok, Thailand semalam. — Gambar Dailynews/Reuters

BANGKOK: Sebuah mahkamah Thai semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 114 tahun ke atas seorang bekas sami, kata seorang pegawai mahkamah, lebih setahun selepas dia diekstradisi dari Amerika Syarikat (AS).

Wiraphon Sukphon menjadi bahan berita utama pada 2013 apabila rakaman menunjukkan dia memakai kaca mata hitam juruterbang yang berjenama dengan sebuah beg jenama Louis Vuitton dalam sebuah jet persendirian.

Bekas sami berusia 39 tahun itu lari ke AS tetapi dihantar balik selepas dia dituduh merogol seorang gadis bawah umur dan menipu penderma yang memberi wang kepadanya untuk membina imej Buddha zamrud terbesar di dunia.

Siasatan lanjut mendapati dia memiliki beberapa kereta mewah dan beberapa akaun bank bernilai kira-kira AS$700,000 (RM2.8 juta).

Wiraphon didapati bersalah atas tuduhan meng-ubah wang, melakukan penipuan dan melanggar Akta Jenayah Komputer kerana mengumpul dana dalam talian, kata seorang pegawai mahkamah Bangkok kepada AFP.

“Hakim mensabit kesalahan ke atasnya dan menjatuhkan hukuman penjara selama 114 tahun pada keseluruhannya,” kata pegawai itu, yang menambah di bawah undang-undang Thai, Wiraphon tidak akan menjalani hukuman itu lebih daripada 20 tahun bagi pensabitan tersebut.

Wiraphon juga diarah mengembalikan 28.6 juta baht (RM3.45 juta) kepada 29 penderma yang memfailkan aduan.

Keputusan mengenai tuduhan merogol dijangka diketahui pada Oktober, kata seorang pendakwa raya.

Bekas sami itu dituduh mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur kira-kira sedekad lalu dan melahirkan seorang anak bersamanya.

Dia berdepan dengan prospek hukuman penjara tambahan selama 20 tahun lagi jika disabit kesalahan.

Thailand didiami kebanyakan penganut Buddha dan agama itu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, di mana kebanyakan lelaki menghabiskan sekurang-kurangnya sebahagian waktu dalam biara sebagai sami novis.

Namun junta yang merampas kuasa pada 2014 me-ngambil pendirian yang tegas terhadap sami Buddha yang terlibat dalam skandal.

Pemerasan, seks dan kes dadah yang dikaitkan dengan sami telah mengejutkan orang ramai, dan pihak berkuasa pada tahun lepas telah memperkenalkan idea untuk memperkenalkan kad pengenalan digital bagi menjejaki dengan lebih baik sami yang mempunyai pensabitan jenayah.

Pada Mei lalu ketua sami di tokong ‘Gunung Emas’ yang menjadi tarikan pelancong di Bangkok menyerah diri kepada polis selepas AS$4 juta (RM16 juta) dijumpai dalam beberapa akaun bank di bawah namanya.

Polis juga sedang menyiasat sama ada jutaan dolar di bawah kawalan Pejabat Agama Buddha Kebangsaan telah disalahgunakan atau tidak.

Dalam satu kes berprofil tinggi pada Februari 2017, anggota tentera mengepung tokong sebuah sekta Dhammakaya yang kaya-raya di pinggir bandar raya Bangkok selama berminggu-minggu dalam usaha untuk mencari dan menahan ketua saminya yang kontroversi, yang kini masih bebas walaupun dia dituduh melakukan penipuan besar-besaran. — AFP

Advertisement