Anda di sini

The Red Devils ikrar ketepi kebimbangan Mourinho

MANCHESTER, England: Manchester United harus mengetepikan kebimbangan pengurus mereka sendiri, Jose Mourinho tentang satu musim yang buruk apabila memulakan musim Liga Perdana Inggeris 2018/2019 dengan menentang Leicester City hari ini.

Mourinho sudah berulang kali mendesak lebih banyak aktiviti dalam pasaran perpindahan jika United mahu merapatkan kedudukan dengan juara musim lepas, Manchester City.

Sebaliknya, semangat pengurus dari Portugal itu terus longlai dengan melihat kelab musuh tradisi mereka, Liverpool, membelanjakan 170 juta pound ke atas pemain baharu.

“Jika kita tidak menjadikan pasukan kita lebih bagus, ia pastinya musim yang sukar untuk kami,” kata Mourinho awal minggu ini, dengan pasaran perpindahan pemain di England ditutup sehari sebelum perlawanan.

Selepas mendapatkan khidmat pemain tengah, Fred dan pemain pertahanan, Diogo Dalot pada awal pasaran perpindahan, usaha memperkuatkan pilihan di posisi pertahanan tengah merupakan keutamaan Mourinho.

MOURINHO
MOURINHO

Namun, United mungkin berdepan dengan salah seorang pemain buruan utama Mourinho, Harry Maguire di Old Trafford, dengan Leicester dilaporkan masih keberatan untuk menjual pemain dengan rekod dunia perpindahan untuk seorang pemain pertahanan.

Maguire dan ancaman utama Leicester di pintu gol, Jamie Vardy, mungkin tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama selepas baharu kembali berlatih selepas penglibatan England sehingga ke perlawanan penentuan tempat ketiga di Piala Dunia 2018 Rusia.

Tetapi United juga kekurangan pemain untuk menyesuaikan keadaan dengan segera selepas Piala Dunia dan awal musim.

Romelu Lukaku, Marcus Rashford, Phil Jones dan Victor Lindelof mendapat pujian dari Mourinho kerana mengurangkan cuti mereka untuk kembali berlatih lebih awal dan dijangka akan memainkan peranan penting hari ini.

Paul Pogba bagaimanapun tidak menyusul ketika perhubungan dingin dengan Mourinho membangkitkan minat dari Barcelona.

Tetapi Mourinho harus mendapat aksi terbaik dari pemain bintang tengahnya dengan Alexis Sanchez mahu mengelak musim ketiga beliau menjadi lebih mengecewakan seperti di Chelsea dan Real Madrid.

Mourinho dipecat oleh Chelsea pada Disember 2015 dengan Chelsea berada pada tangga ke-16 ketika itu, satu mata di atas zon penyingkiran.

Seperti pada musim terakhir beliau di Real Madrid pad 2012/2013, Mourinho berbalah dengan beberapa pemain senior dengan musim berakhir tanpa sebarang kejuaraan.

Situasi yang sama kelihatan bakal berulang di Old Trafford jika United memulakan musim dengan buruk dan beliau percaya jadual perlawanan pasukannya menjadikan tugas beliau semakin sukar.

“Saya mahu mengeluarkan kata-kata yang baik, kami tidak bernasib baik bermain pada hari Jumaat kerana kami boleh bermain pada hari Ahad,” kata beliau.

“Isnin, Selasa, Rabu, Khamis (untuk bersedia) adalah tidak cukup.”

Salah seorang pemain penting Mourinho, Nemanja Matic, tidak akan beraksi di awal musim selepas menjalani pembedahan kecederaan di bahagian perut sementara Eric Bailly dan Ander Herrera juga diragui dalam beraksi kerana kecederaan semasa perlawanan pramusim terakhir menentang Bayern Munich. — AFP