Anda di sini

Tentera Zionis terus zalimi penduduk Gaza

 Gambar dirakam kelmarin menunjukkan letupan bebola api semasa tentera Israel melancarkan siri serangan                            besar-besaran di Semenanjung Gaza. — Gambar Mahmud Hams/AFP
BEBOLA API: Gambar dirakam kelmarin menunjukkan letupan bebola api semasa tentera Israel melancarkan siri serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza. — Gambar Mahmud Hams/AFP

KOTA GAZA: Israel melancarkan siri serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza pada waktu malam dalam tindak balas kepada kira-kira 150 roket yang dilepaskan ke wilayahnya, seterusnya mengorbankan tiga penduduk Palestin termasuk seorang bayi dalam satu lagi keganasan baharu, kata pegawai semalam.

Kebanyakan roket yang dilepaskan oleh puak militan Palestin mendarat dalam kawasan terbuka, tetapi sekurang-kurangnya dua terkena bandar Sderot di Israel dekat Semenanjung Gaza dan penggera berbunyi sepanjang malam, memaksa penduduk untuk lari ke tempat perlindungan bom.

Ahli medik melaporkan sekurang-kurangnya empat mangsa cedera yang dibawa ke hospital di Israel, termasuk seorang wanita Thai berusia 30 tahun, dalam keadaan sederhana hingga teruk.

Mereka yang maut di Semenanjung Gaza termasuk Enas Khammash, 23, dan bayi perempuannya yang berusia 18 bulan, Bayan, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai kumpulan Hamas itu.

Mereka maut dalam serangan udara di Jafarawi, bahagian tengah Gaza, kata kementerian, manakala suaminya cedera. Kementerian berkata Khammash juga me-ngandung.

Seorang anggota militan Hamas turut terbunuh dalam serangan berkenaan dan sekurang-kurangnya 12 lagi cedera, kata kementerian kesihatan.

Ia merupakan keganasan serius yang ketiga sejak Julai dan berlaku walaupun usaha dijalankan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir untuk mewujudkan gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas.

Tiga keganasan yang berlaku, yang menyusuli ketegangan selama berbulan-bulan disebabkan oleh tunjuk perasaan dan pertelingkahan di sepanjang sempadan Gaza, menimbulkan kebimbangan mengenai peperangan keempat antara kedua-dua pihak sejak 2008.

Tentera Israel berkata ia menyasari lebih 140 “tapak tentera” Hamas, termasuk pekarangan tentera dan tapak pembuatan senjata api bagi pergerakan Islamis itu.

Ia berkata Israel disasari dengan kira-kira 150 roket semenjak lewat kelmarin sehingga semalam.

Sebanyak 25 daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara, menurut angkatan tentera.

Kepulan asap dan bebola api kelihatan di atas Semenanjung Gaza ketika serangan dilancarkan.

Pihak tentera berkata ia “berazam untuk menjaga keselamatan warga Israel dan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk pelbagai jenis senario”.

Satu kenyataan dari sayap tentera Hamas mengaku bertanggungjawab bagi roket-roket berkenaan.

Ia berkata “penentang” Palestin melepaskan sejum-lah besar roket ke “kedudukan musuh dalam selubung Gaza”.

Televisyen Israel menyiarkan imej sebuah rumah dan kereta yang rosak akibat roket di Sderot.

Nickolay Mladenov, selaku utusan PBB bagi konflik Timur Tengah yang telah berusaha untuk mengadakan rundingan mengenai gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas, berkata dia “amat khuatir” dan menyeru kepada semua pihak untuk “berundur dari pinggir (peperangan)”.

“Selama berbulan-bulan saya telah memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan, keselamatan dan politik di Gaza berisiko mencetuskan konflik buruk yang tidak diinginkan oleh sesiapa,” dia menyebut dalam satu kenyataan.

“Usaha kolektif kita telah memastikan keadaan tidak meletup sehingga sekarang. Bagaimanapun jika keganasan sekarang tidak dibendung dengan segera, situasi boleh dengan cepat menjadi bertambah buruk dengan akibat yang dahsyat bagi semua orang.”

Keganasan yang bermula malam kelmarin menyusuli satu insiden yang berlaku sehari sebelum itu.

Dalam insiden itu, dua pejuang dari sayap tentera Hamas dibunuh oleh sera-ngan Israel di sepanjang sempadan.

Israel pada mulanya berkata dua pejuang itu menembak askar Israel, tetapi Hamas berkata mereka terbabit dalam satu latihan yang dihadiri pegawai kanan kerajaan.

Media Israel melaporkan pegawai tentera kemudian mengakui satu kesilapan telah dibuat dan anggota militan terbabit tidak menembak askar, tetapi pihak tentera enggan mengesahkan maklumat itu kepada AFP.

Hamas memberi amaran, Israel akan menanggung akibatnya bagi serangan itu, dan kelmarin pihak tentera berkata tembakan telah dilepaskan ke arah jurutera awam yang sedang membuat perintang bawah tanah di sepanjang sempadan, yang mendorong tentera untuk membalas de-ngan serangan kereta kebal ke atas sebuah pos Hamas.

Ia disusuli serangan roket dan kemudian serangan Israel.

Keganasan itu berlaku selepas kepimpinan Hamas berhimpun untuk satu mesyuarat penting di Gaza pada Jumaat lepas.

Perhimpunan itu menimbulkan harapan mengenai persetujuan bagi gencatan senjata yang berkekalan dengan Israel, dengan sokongan Mesir dan PBB. — AFP