Anda di sini

Sharapova melakukan 25 pukulan kemenangan

Advertisement
SHARAPOVA
SHARAPOVA

MONTREAL, Kanada: Maria Sharapova melakukan 25 pukulan kemenangan untuk menewaskan rakan senegaranya dari Rusia, Daria Kasatkina 6-0 dan 6-2 pada kejohanan WTA Montreal di sini Rabu lepas tetapi perlawanan pertama Angelique Kerber sejak memenangi kejuaraan Wimbledon, berakhir dengan kekalahan mengecewakan.

Sharapova memerlukan hanya 66 minit untuk menewaskan pemain pilihan ke-12 kejohanan itu dengan aksi meyakinkan menjelang kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika (AS) tiga minggu lagi.

“Saya masuk ke gelanggang dengan menghormati lawan saya kerana beliau sudah membina satu reputasi yang hebat,” kata Sharapova, 31.

“Saya tahu saya berdepan perlawanan yang sukar. Saya memberi fokus dari awal sehingga ke akhir permainan.”

Kasatkina, 21, hanya memenangi tiga permainan pada perlawanan itu.

Dengan kemenangan itu, Sharapova akan bertemu pilihan keenam dari Perancis, Caroline Garcia untuk satu tempat ke suku akhir.

Sharapova memiliki rekod 4-1 menentang Garcia dengan pertemuan terakhir adalah tiga tahun yang lalu pada kejohanan di permukaan tanah liat di Stuttgart.

Kerber, pemain ranking keempat dunia, bermain buat kali pertama sejak menewaskan Serena Williams di final Wimbledon, tewas 6-4 dan 6-1 kepada Alize Cornet dari Perancis.

Pemain dari Jerman itu juga melakukan 32 kesilapan mudah menentang lawan yang berada pada ranking ke-34 dunia sebelum tersingkir dalam masa 85 minit.

Cornet, 28, akan menentang Ashleigh Barty dari Australia di pusingan ketiga dan ia adalah kemenangan kedua berturut-turut ke atas Kerber selepas kejohanan di Beijing tahun lepas.

“Ia adalah perlawanan pertama saya selepas tiga minggu,” kata Kerber. “Ia sentiasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permukaan (dari rumput ke simen). Saya fikir saya mempunyai sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri di permukaan simen.”

Barty, pilihan ke-15 kejohanan, menewaskan Alison Van Uytvanck dari Belgium 7-6 (9/7) dan 6-2 sementara pilihan kesembilan dari Republik Czech, Karolina Pliskova, tewas 6-2 dan 6-2 kepada Kiki Bertens dari Belanda.

Pilihan kelima yang juga juara bertahan, Elina Svitolina, meneruskan kemaraan selepas lawannya menarik diri kerana kecederaan. Beliau mendahului 6-3, 6-7(5/7) dan 4-3 apabila lawannya, Mihaela Buzarnescu menarik diri kerana kecederaan buku lali.

Juara Terbuka AS yang juga pilihan ketiga, Sloane Stephens, juga meneruskan kemaraan selepas menewaskan Francoise Abanda 6-0 dan 6-2. — AFP

Advertisement