Anda di sini

Senat Argentina tolak undang-undang benar pengguguran

Advertisement
 Aktivis menyokong undang-undang membenarkan pengguguran menunjuk perasaan            di luar dewan perundangan negeri Rio de Janeiro, Brazil kelmarin. — Gambar Mauro Pimentel/AFP
PROTES: Aktivis menyokong undang-undang membenarkan pengguguran menunjuk perasaan di luar dewan perundangan negeri Rio de Janeiro, Brazil kelmarin. — Gambar Mauro Pimentel/AFP

BUENOS AIRES: Dewan Senat Argentina semalam menolak rang undang-undang untuk membenarkan pengguguran di tanah air Pope Francis, sekali gus memusnahkan harapan kumpulan hak wanita selepas rang undang-undang itu diluluskan oleh dewan rakyat pada Jun lalu.

Undian itu, dengan 38 yang menentang, 31 yang menyokong dan dua pengecualian, menamatkan sesi maraton yang bermula sehari sebelum itu dan berlarutan sehingga ke awal pagi semalam sebelum kesimpulannya yang muktamad.

Bunga api dan jeritan kegembiraan meletus di kalangan aktivis anti pengguguran yang berkampung di luar Kongres, manakala aktivis propilihan, ramai yang memakai skarf hijau yang menjadi lambang pergerakan mereka, nampak sugul.

Ada yang membakar sampah dan palet kayu serta melontar batu ke arah polis rusuhan, yang cuba meleraikan mereka dengan gas pemedih mata dan meriam air.

Undian itu menyusuli pungutan suara di Ireland, sebuah lagi negara tradisi Katolik, pada Mei lalu yang membuka jalan untuk merangka rang undang-undang bagi membunuh janin dalam kandungan.

Ia juga diadakan selepas kempen selama berbulan-bulan berhubung isu hangat itu yang memecah-belah masyarakat.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan oleh dewan rendah dalam Kongres pada Jun lalu dengan margin paling tipis, tetapi memang dijangka akan gagal memperolehi undi yang mencukupi untuk lulus dalam Senat.

Penggubal undang-undang kini mesti menunggu selama setahun untuk mengemuka-kan semula rang undang-undang berkenaan.

Miguel Angel Pichetto, seorang ketua pembangkang Peronis dalam Senat, berkata aktivis pro pengguguran tidak akan berputus asa.

“Masa depan bukan milik aktivis ‘Tidak’. Lambat-laun, kaum wanita akan mendapat-kan keputusan yang mereka perlukan, lambat-laun kita akan memenangi perdebatan ini,” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Pada awal semalam, puluhan bas membawa orang dari seluruh negara ke Buenos Aires untuk menyertai rapat umum yang disokong masing-masing di luar Kongres.

Penyokong hak pengguguran memakai skarf hijau manakala aktivis antipengguguran memakai warna biru muda. Sekatan didirikan untuk memisahkan mereka.

Buat masa sekarang, pengguguran dibenarkan di Argentina dalam hanya tiga kes sahaja, sama seperti di kebanyakan negara di Amerika Latin: rogol, ancaman kepada nyawa si ibu atau jika janin cacat.

Rang undang-undang berkenaan cuba membenarkan pengguguran dalam tempoh 14 minggu pertama kehamilan untuk membolehkan Argentina menyertai Uruguay dan Cuba sebagai negara-negara di Amerika Latin yang membenarkan pengguguran sepenuhnya.

Ia juga dibenarkan oleh undang-undang di Kota Mexico. Ia masih dilarang sepenuhnya di tiga negara Amerika Tengah, El Salvador, Honduras dan Nicaragua.

Rapat umum diadakan di seluruh dunia di hadapan misi diplomatik Argentina, khususnya bagi menyokong rang undang-undang itu.

Sementara itu penentang pengguguran mengadakan demonstrasi mereka sendiri.

Paderi dan biarawati disertai pendeta Yahudi, iman dan anggota gereja Kristian lain untuk menentang rang undang-undang itu.

Salah seorang daripada mereka, Federico Berruete, seorang paderi berusia 35 tahun, menyertai penunjuk perasaan antipengguguran yang membawa slogan “Nyawa bermula pada waktu kehamilan”. — AFP

Advertisement