Anda di sini

Sarawak tidak rela jadi belasahan Perth Glory FC

Advertisement
Ian (tiga kanan) bersalam dengan Tony pada sidang media. Hadir sama (dari kanan) Razali, Abang Abdul Rahman dan Jacob (dua kiri).
Ian (tiga kanan) bersalam dengan Tony pada sidang media. Hadir sama (dari kanan) Razali, Abang Abdul Rahman dan Jacob (dua kiri).

KUCHING: Sarawak berikrar tidak akan memberi laluan mudah kepada Perth Glory FC menjelang pertemuan persahabatan dua pasukan itu di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.

Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan berkata selain mengelak menjadi belasahan pasukan yang bersaing dalam Liga Australia itu, mereka juga sudah tentu mahu menampilkan aksi menarik untuk tatapan penonton yang hadir. 

“Kita akan cuba sebaik mungkin memberi tentangan sengit kepada pihak lawan. Perth Glory mahukan perlawanan yang sukar kerana mereka mahu diuji. 

“Justeru, kita akan memberikan perlawanan yang menarik agar mereka turut mendapat keputusan positif,” katanya pada sidang media mengenai perlawanan persahabatan itu di Hotel The Waterfront malam tadi.

Menurut Ian lagi, perlawanan tersebut disifatnya penting sebagai pendedahan kepada pemain-pemain muda Sarawak yang menjadi tunjang pasukan itu di masa akan datang.

Pada masa sama ia memberi peluang kepada peminat di sini menyaksikan pemain bola sepak profesional beraksi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perth Glory FC, Tony Popovic memberitahu akan menggunakan perlawanan itu bagi menguji persefahaman antara pemain baru terutama pemain muda pasukan itu.

“Saya mengharapkan perlawanan menarik ditampilkan kedua pasukan terutama dari Perth Glory. Saya tidak terlalu memikirkan keputusan tetapi yang penting persembahan pasukan.

“Kita tidak sabar untuk menentang Sarawak dan mengikuti kem latihan di sini sebagai persiapan untuk menghadapi musim baru Liga Australia,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan Australia itu menambah ia satu pengalaman baru dan amat berharga kepada Perth Glory kerana diberi peluang bermain menentang pasukan dengan budaya dan corak permainan yang berbeza.

Kuching menjadi destinasi kedua jelajah pramusim Perth Glory FC selepas menentang pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada 23 Julai lepas.

Selain Sarawak, Perth Glory juga dijadual menentang pasukan SUKMA Sarawak pada 15 Ogos ini jam 8.15 malam.

Hadir sama pada sidang media semalam Naib Presiden FAS Razali Dolhan, Pengarah Komersil FAS Abang Abdul Rahman Abag Naim dan Pengurus Besar Perth Glory Jacob Burns.

  • oleh
  • Advertisement