Anda di sini

Rakyat Sarawak harus perkasa pengetahuan, pendidikan anak

Advertisement
 Willie merakam kenangan bersama jawatankuasa penganjur seminar.
UNTUK ALBUM: Willie merakam kenangan bersama jawatankuasa penganjur seminar.

KUCHING: Dalam usaha mempertahankan hak tanah adat serta hutan yang diwarisi, rakyat Sarawak juga harus memperkasakan pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan anak-anak.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin pada Majlis Perasmian Seminar Orang Asal di Pusat Redeems, Bau di sini kelmarin.

“Dalam kita mempertahankan hak kita atas tanah adat serta hutan yang kita warisi daripada nenek moyang kita, hendaklah juga kita terus memperkasalan diri kita serta anak-anak kita dengan pengetahuan dan pendidikan, sama ada pendidikan akademik mahupun pendidikan kemahiran,” katanya.

Beliau memberitahu, ini penting kerana menurut kajian PBB yang dikeluarkan pada 15 Januari 2010, terdapat satu pertiga masyarakat peribumi atau orang asal berada dalam keadaan termiskin dan menderita di seluruh negara.

Tambah Willie penerbitan pertama PBB mengenai keadaan masyarakat asal dunia menunjukkan statistik yang membimbangkan tentang kemiskinan, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, hak asasi manusia, alam sekitar dan banyak lagi.

“Masyarakat asal di seluruh dunia terus menderita akibat kemiskinan, masalah kesihatan, jenayah dan penyalahgunaan hak asasi yang tidak seimbang dan pendidikan membuka jalan keluar daripada kemiskinan ini,” tegasnya.

Malah, beliau berkata mereka yang mempunyai tahap pendidikan tinggi lebih berpeluang untuk memperoleh kehidupan lebih baik dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Adalah menjadi harapan saya agar kita orang asal akan terus menekan kepentingan pendidikan dalam kalangan anak-anak dan masyarakat kita supaya kita dapat bersaing dengan masyarakat lain dalam dunia yang serba mencabar ini.

“Oleh itu, saya mengajak kita semua berusaha membentuk generasi baharu orang asal yang dilengkapi dengan kesedaran akan hak-hak mereka ke atas tanah dan sumber alam, dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan dapat mengukuh daya saing mereka di pasaran perkerjaan mahupun dalam dunia dagangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Willie menyambut baik usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terutama Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) menganjurkan seminar seumpama itu.

“Melalui beberapa projek yang telah dijalankan, ia telah memberikan kita satu pendekatan atau suatu paradigma baharu tentang bagaimana untuk menjaga atau mengekalkan mutu hutan serta sumbernya daripada diceroboh orang luar melalui kerjasama yang dijalankan di antara komuniti dengan pihak kerajaan.

“Ini merupakan satu usaha yang baik dan di samping itu ia juga dapat membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab mengurus sumber-sumber yang ada di dalam hutan terutam di kawasan hutan lindung,” jelasnya.

Pada masa sama beliau berharap seminar seumpama itu diadakan lebih kerap untuk mewujudkan kesedaran tentang hak-hak orang asal atas sumber hutan dan sumber alam.

Advertisement