Anda di sini

Pejabat Tanah dan Survei Sibu diserbu pemohon lot kediaman

Advertisement
 Orang ramai memenuhi pintu utama Pejabat Tanah dan Survei Sibu untuk mendapatkan borang permohonan Skim Pembesaran Kampung Bukit Lima Fasa I.
 Orang ramai memenuhi pintu utama Pejabat Tanah dan Survei Sibu untuk mendapatkan borang permohonan Skim Pembesaran Kampung Bukit Lima Fasa I.

SIBU: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu diserbu orang ramai susulan notis mempelawa penduduk dari beberapa kampung bagi memohon lot tanah bagi tujuan membina rumah di Skim Pembesaran Kampung Bukit Lima Fasa I.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati ratusan orang ramai memenuhi pintu hadapan pejabat tersebut pada pukul 12.00 tengah hari ini bagi mendapatkan borang permohonan.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, pintu utama Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu itu masih ditutup dan borang permohonan belum diedarkan kepada orang ramai yang sedang menunggu di luar perkarangan bangunan tersebut.

Keadaan ini menyebabkan berlaku sedikit kekecohan kerana terdapat segelintir pemohon mula hilang sabar.

Bagaimanapun, keadaan dapat ditenteramkan oleh pegawai yang bertugas dengan menjelaskan borang permohonan skim tanah tersebut adalah tidak terhad dan boleh dipohon pada hari lain iaitu Isnin hingga Jumaat.

Borang mula diedarkan sekitar pukul 3.00 petang dan ada yang kelihatan meninggalkan pejabat itu kerana enggan menunggu terlalu lama.

 

Notis itu antara lain, permohonan dibuka kepada penduduk Bumiputera Islam dari Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Baharu, Kampung Nangka dan Kampung Usahajaya Baru.

Bagaimanapun, pegawai Tanah dan Survei Sibu enggan mengulas mengenai syarat 'penduduk Bumiputera Islam'.

Pegawai itu cuma memberitahu, ia akan dijelaskan oleh Ibu Pejabat Tanah dan Survei di Kuching.

  • oleh
  • Advertisement