Anda di sini

Lelaki dipenjara tujuh bulan kerana simpan harta curi

Advertisement

MIRI: Padah menyimpan harta curi, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Bengkong Jilap mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah enjin motosikal yang merupakan milik Yam Soon Kwang, 40.

Bengkong didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 pagi, 10 Mei 2016 di pekarangan sebuah rumah di Desaras 1B/1 Tudan Fasa 6 di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memberitahu bahawa kes ini ditetapkan untuk perbicaraan lanjut, namun tertuduh memberitahu bahawa dia berhasrat menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh dia direman pada 21 Mei tahun ini.

Advertisement