Anda di sini

Laku khianat: Juvana diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Advertisement

MIRI: Seorang remaja yang mengaku bersalah melakukan khianat dengan mematahkan kerusi meja makan diperintahkan Mahkamah Juvana supaya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo selama tiga tahun atau sehingga usianya mencapai 21 tahun.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa mengikut Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuannya, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta kepentingan awam.

Selain itu, mahkamah turut mengambil kira laporan akhlaknya yang disediakan oleh pegawai penasihat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Juvana terbabit, 17, dari Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit didapati telah melakukan khianat dengan mematahkan sebuah kerusi meja makan milik keluarganya hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM35.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.47 malam, 15 Julai lalu di sebuah lot di Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP  Mary Ong manakala juvana terbabit tidak diwakili.

Hadir sama di mahkamah semalam ialah ibu serta kakaknya selaku penjaga.

Advertisement