Anda di sini

Lakon semula perbuatan

Advertisement
 Suspek diiringi anggota polis ke tempat kejadian di rumah mangsa di Jalan Tiong Hua, Sibu pagi semalam.
TUNJUK: Suspek diiringi anggota polis ke tempat kejadian di rumah mangsa di Jalan Tiong Hua, Sibu pagi semalam.

SIBU: Suspek kes bunuh pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibawa ke kedai tempat dia menjual telefon bimbit dan barang kemas mangsa di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, siasatan polis terhadap suspek berumur 42 tahun itu bermula pagi semalam dengan suspek menunjukkan tempat di mana telefon dan rantai itu dijual di bandar ini.

“Dia (suspek) juga dibawa ke tempat tinggalnya di Jalan Ding Lik Kong di mana polis merampas seluar yang dipakainya pada malam pembunuhan,” katanya ketika dihubungi.

Stanley berkata, suspek juga diiringi ke rumah sewa mangsa di Jalan Tiong Hua di mana dia melakonkan semula cara dia memasuki rumah tersebut dan perbuatannya ke atas mangsa.

“Lakon semula ditunjukkan suspek dan gambar telah diambil untuk pengukuhan bukti,” katanya.

Sejak hari kejadian, suspek melarikan diri selepas mangsa Nurnia Azalea Priscilla Edward, 25, ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat ke belakang oleh rakan-rakannya di sebelah katil rumah sewanya di Jalan Tiong Hua pada jam 2.30 petang 2 Ogos lalu.

Mangsa berkahwin dengan kerani, 29, bekerja di sebuah sekolah di Tatau selama setahun dan belum mempunyai cahaya mata.

Bedah siasat terhadap mayat mangsa yang dilakukan pakar patalogi Dr Norliza Ibrahim dari Jabatan Forensik HUS Kuching pada 4 0gos lalu mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan kepala akibat hentakan kuat menggunakan benda tumpul.

Tengkoraknya retak, manakala terdapat juga kecederaan pada wajah dan lehernya, selain pendarahan dalaman di kepala dan lebam berhampiran kawasan leher.

Suspek akhirnya berjaya ditangkap pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Julau dan Sibu di rumah panjang asal isterinya di Nanga Bilat, Julau pada jam 10.40 pagi 6 Ogos lalu.

Menurut maklumat polis, suspek yang merupakan pemandu lori berasal dari sebuah rumah panjang di Batu 16, Jalan Oya dekat sini.

Suspek kini menjalani perintah reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement