Anda di sini

Lagi kes iklan tipu, wanita rugi lebih RM22,000

Advertisement

SIBU: Seorang wanita hanya tersedar dirinya ditipu selepas membuat lapan transaksi pemindahan wang berjumlah lebih RM22,000 hanya untuk meminjam RM30,000.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengadu, 40, terdahulu melayari laman Facebook dan tertarik kepada iklan pemberi pinjaman wang pada 4 Julai lepas.

Katanya, pengadu yang berminat untuk membuat pinjaman itu kemudian dihubungi seorang wakil syarikat berkenaan yang memintanya membuat pembayaran bagi tujuan kos insurans, pembukaan akaun semasa, deposit dan yuran guaman.

“Keseluruhannya pengadu telah membuat pembayaran berjumlah RM22,336 melibatkan lapan transaksi ke dua akaun bank milik individu tidak dikenali,” katanya.

Namun, pengadu mulai curiga dan berasa tertipu apabila diminta untuk membuat pembayaran untuk kali kesembilan.

Menurut Stanley, suspek memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang ke akaun suspek bagi mendapatkan pinjaman wang yang sememangnya tidak wujud.

Dalam kes berasingan, hasrat seorang lelaki untuk menjual duit syiling lama 20 sen bertarikh 1973 melalui dalam talian berkecai apabila dia pula kerugian RM1,000.

Menurut Stanley, pengadu, 23, yang merupakan seorang kelindan lori, menerima respons dalam ruang komen daripada seorang lelaki yang kononnya berminat untuk membeli syiling tersebut dengan harga AS$15,000.

Katanya, pengadu kemudian menerima mesej pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada sebuah syarikat memaklumkan terdapat pembayaran sebanyak AS$15,000 untuk pembelian duit syiling pengadu.

Bagaimanapun, pengadu diarah untuk membuat pembayaran RM1,000 kononnya untuk membayar cukai pelepasan dan pengaktifan akaun antarabangsa.

Tanpa curiga, pengadu membuat pembayaran sebanyak RM1,000 melalui empat transaksi pembayaran pada 6 hingga 8 Ogos lalu.

“Selepas wang dimasukkan, pengadu cuba menghubungi syarikat itu namun panggilan pengadu telah disekat dan tidak dapat disambungkan,” kata Stanley.

Katanya, suspek memperdayakan pengadu untuk membuat pembayaran bagi tujuan jual beli duit syiling itu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambahnya.

Advertisement