Anda di sini

KWSP jangka aset di bawah AUM cecah RM1 trilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka aset di bawah pengurusannya (AUM) mencecah RM1 trilion dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Strategi) Tunku Alizakri Alias.

Setakat 31 Mac, 2018, aset di bawah pengurusan KWSP berjumlah RM814.38 bilion.

Tunku Alizakri berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada prestasi pasaran dan pertumbuhan caruman sepanjang tempoh tersebut, serta pengenalan beberapa skim baharu bagi pencarum sedia ada.

Beliau juga berkata dana persaraan itu menggalakkan golongan yang bekerja sendiri untuk mula menyumbang kepada persaraan mereka.

“Dalam tempoh empat tahun lepas, lebih banyak penekanan diberikan kepada keselamatan sosial...ia sedang diperkatakan oleh orang ramai. Ia kini adalah keutamaan kerajaan. Banyak sumber dan fokus kini ditumpukan kepadanya.

“Bagi saya, ini adalah hala tuju yang betul. Anda perlu memastikan rakyat Malaysia dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Keselamatan Sosial 2018, yang diadakan di sini, semalam.

Beliau berkata KWSP akan menjadi lebih proaktif dalam operasinya dengan pengenalan pendigitalan yang merupakan sebahagian daripada rancangan berjangka lima tahunnya.

“Ia suatu yang menerujakan ahli-ahli kami kerana majoriti daripada mereka adalah golongan muda yang sentiasa berhubung secara digital. Dalam erti kata itu kami akan mula menimbangkan keperluan individu ahli-ahli kami,” kata Tunku Alizakri.

Persidangan dua hari bertajuk ‘A Better Tomorrow Here Today’ yang dianjurkan oleh KWSP itu berakhir semalam. — Bernama