Anda di sini

KJ buat laporan polis berhubung isu tuntutan GST

Advertisement
 Khairy membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang ‘rompakan’ RM18 billion di IPD Sentul, semalam. — Gambar Bernama
BUAT LAPORAN: Khairy membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang ‘rompakan’ RM18 billion di IPD Sentul, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Khairy berkata, tuduhan yang dibuat oleh Lim kelmarin di Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan merupakan tuduhan yang serius dan memerlukan bukti kukuh.

“Semalam (kelmarin) di Parlimen saya tanya beliau (Guan Eng), adakah siasatan akan dibuat terhadap isu ini?

“Guan Eng menjawab kementeriannya akan melakukan siasatan dalaman bagi menyiasat perkara berkenaan,” katanya.

Lim perlu membuat siasatan terbuka dan bukan siasatan dalaman di peringkat kementeriannya, katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada jam 2 petang.

“Kami di BN juga hendak membersihkan nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku ‘rompakan’ maka bawalah mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Sekiranya tidak, maka mestilah dijelaskan bahawa tuduhan tersebut tidak tepat serta tidak berasas,” katanya.

Khairy juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok (hari ini), berhubung perkara yang sama.

Kelmarin, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Lim berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lepas berjumlah RM19.4 bilion, bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Susulan itu, satu siasatan dalaman giat dilakukan oleh Kementerian Kewangan bagi mengenal pasti punca pengurangan RM18 bilion itu. — Bernama

Advertisement