Anda di sini

Kertas putih FELDA dibentang pada sidang parlimen berikutnya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan kertas putih  pada sidang parlimen akan datang untuk mendedahkan keadaan sebenar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta rancangan strategik pemulihannya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kedudukan kewangan FELDA sekarang merupakan legasi kepimpinan terdahulu yang lemah dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, FELDA sedang menghadapi masalah aliran tunai yang amat kritikal.

“Tumpuan segera Lembaga Pengarah dan pengurusan yang baharu FELDA adalah untuk memulihkan aliran tunai melalui perbincangan dengan pemiutang untuk menstrukturkan semula pinjaman agensi  tersebut yang sudah mencecah RM8.025 bilion.

“Langkah seterusnya bagi mengukuhkan aliran tunai ialah penjualan aset tidak strategik seperti hartanah di luar dan dalam negara,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) di Dewan Rakyat, semalam, mengenai proses penstrukturan FELDA yang terkini.

Azmin berkata kerajaan tetap komited memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka selaras dengan matlamat Akta Kemajuan Tanah 1956.

Menurutnya, kerajaan yakin pengurusan baharu FELDA akan berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang tinggi demi menjayakan proses pemulihan  dan pembangunan mampan bagi agensi tersebut.

Fokus utama pengurusan baharu FELDA adalah untuk melaksanakan tanggungjawab perundangan terhadap peneroka FELDA.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil akan dibayar menurut jadual kepada mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto 100 harinya telah berjanji untuk melaksanakan pemansuhan 50 peratus hutang peneroka yang wujud hasil skim pinjaman sara hidup bagi penanaman semula tanaman. Sementara itu, Azmin berkata, kilang Tawau Oil Product (TOP) iaitu anak syarikat FELDA Vegetable Oil Products Sdn Bhd (FVOP) tidak akan ditutup operasinya.

“FGV sedang melalui proses rasionalisasi untuk meningkatkan nilai dan prestasi syarikat, namun tidak bercadang menutup kilang tersebut,” katanya sambil memaklumkan FVOP adalah anak syarikat FGV Holdings Bhd dan bukan di bawah pengurusan FELDA.

Kepada soalan ahli parlimen yang sama mengenai perjanjian FELDA dengan kerajaan Sabah yang berjanji memperuntukkan 40,000 hektar kepada peneroka, namun setakat ini hanya 9,000 hektar diperuntukkan, Azmin berkata perjanjian itu akan diteliti semula.

Namun, katanya, pemberian tanah kepada peneroka telah dihentikan.

Beliau berkata pada 2012, FELDA telah menyerahkan 400,000 hektar tanah yang diuruskannya kepada FGV Holdings bagi tujuan penyenaraian.

Bagaimanapun, FGV menghadapi masalah untuk membayar dividen serta perkongsian untung yang adil kepada FELDA bagi tujuan pengurusan, yang menjadi antara punca FELDA berdepan masalah pengurusan kewangan kritikal, katanya.

“Semuanya akan dinyatakan dalam kertas putih yang akan dibentangkan supaya lembaga pengarah dan pengurusan FELDA dapat meneliti semula kewajaran penyenaraian dengan mengambil kira pandangan FGV,” kata Azmin. — Bernama

Advertisement