Anda di sini

Kerajaan PH tidak mampu tunaikan janji

Advertisement

KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai tidak mampu menunaikan semua janji dalam tempoh 100 hari pemeritahan mereka.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan PH masih mempunyai tujuh hari lagi untuk melaksanakan semua janji mereka.

Malangnya menurut Karim, hampir semua perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) masih belum dipenuhi meskipun sudah hampir 100 hari selepas pilihan raya 9 Mei.

Yang jelas hilang atau tidak dilaksanakan oleh PH ialah janji untuk memberi 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sarawak, ujar Karim.

“Pakatan telah berjanji bahawa perkara ini akan dilakukan dalam masa 100 hari ini, sebaliknya pemimpin PH memutarbelitkan isu ini dengan intepretasi yang berbeza.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa 20 peratus royalti adalah berdasarkan keuntungan manakala Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata 5 peratus royalti minyak dan gas sedia ada ditambah dengan 20 peratus keuntungan.

“Manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berkata memberikan 20 peratus royalti kepada Sarawak akan menyebabkan negara bankrap dan merampas industri minyak negara.

“Ia cukup jelas sekarang bahawa kerajaan PH tidak mampu memenuhi janji mereka dan apa yang dijanjikan oleh mereka ini hanya untuk memenangi undi rakyat,” katanya.

Tambah Karim, pengundi telah tertipu dengan mempercayai janji PH untuk mempunyai kerajaan yang lebih baik tetapi malangnya sebaliknya yang berlaku.

ABDUL KARIM
ABDUL KARIM

Kebanyakan kementerian mereka menurut Karim  masih belum stabil dengan peranan menterinya adalah lebih untuk mencari kesalahan yang dilakukan menteri dan kerajaan sebelum ini.

“Satu-satunya janji PH yang hampir tercapai ialah untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada kadar enam peratus kepada kadar sifar.

“Bagaimanapun, kempen pilihan raya PH bahawa kos kehidupan dan harga barangan akan turun selepas pemansuhan kadar GST kepada sifar tidak berlaku.

“Tiada apa-apa yang turun harga kecuali ‘shuttlecocks’ (bulu tangkis) seperti yang didakwa oleh Chong,” ujar Karim.

Sehubungan itu Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan menasihati pemimpin PH supaya ‘mesti cakap serupa bikin’ dan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak menipu rakyat.

Advertisement