Anda di sini

Kaji semula penghapusan dasar kabotaj

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk meliberalisasikan dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 1 Jun 2017 perlu dikaji semula kerana ia bukan sahaja gagal menurunkan harga barang tetapi juga menjejaskan pengangkut tempatan, kata Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA).

Pengerusi, Datuk Abdul Hak Md Amin berkata, liberalisasi dasar kabotaj yang dipersalahkan berikutan kos barangan yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak, bertujuan untuk menurunkan harga di kedua-dua negeri, tetapi malangnya ia tidak berjaya.

“Dalam beberapa kes, keadaan harga semakin buruk.

“Kita dapat melihat kesan negatifnya terhadap industri perkapalan tempatan dan syarikat perkapalan tempatan, kerana kapal-kapal asing, iaitu dari Singapura, China, Thailand dan Indonesia telah mula memenuhi perairan Malaysia,” katanya kepada Bernama sempena Minggu Maritim 2018.

Abdul Hak berkata, beberapa syarikat perkapalan tempatan sedang mengalami masalah dan sebahagiannya terpaksa menutup perniagaan mereka akibat persaingan yang tidak adil.

“Anggota kami di Sabah dan Sarawak adalah yang paling terjejas. Kita boleh melihat syarikat perkapalan dari China mengangkut kargo dari Malaysia Timur ke Malaysia Barat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh syarikat Malaysia yang gulung tikar,” katanya. Menurut beliau, gaji minimum yang rendah dan peraturan yang lemah di atas kapal dan spesifikasi kapal di negara-negara asal juga memainkan peranan kebanjiran kapal asing di perairan Malaysia, yang mana sebahagiannya tidak selamat dan tidak layak belayar.

Pada 2017, Malaysia mencatat kerugian muatan bernilai RM25 bilion kerana kargo diangkut oleh kapal asing.

“Jika kita berjaya mendapatkan 30 peratus daripada pengangkutan ini, ia cukup baik kerana kemerosotan kapal negara yang kini kira-kira sepuluh juta tan berat muatan (dwt) daripada 15 juta tan dwt dan serentak dengan bilangan kapal yang semakin berkurangan,” katanya.

Berkuat kuasa 1 Jun 2017, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar kabotaj yang dikenakan ke atas semua perkhidmatan pengangkutan kargo antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Abdul Hak berkata, liberalisasi dasar kabotaj telah menyebabkan lebih banyak kapal asing bergerak bebas di perairan Malaysia kerana lesen pengangkutan domestik tidak lagi diperlukan.

Ia juga berkait rapat dengan isu-isu lain yang menjejaskan industri, seperti kekurangan pekerjaan untuk pemain tempatan dan pengurangan kapal, yang menyebabkan kekurangan tempat latihan untuk kadet.

“Adalah menyedihkan apabila golongan belia tidak mempunyai tempat untuk menjalani latihan kapal mereka seperti yang dikehendaki undang-undang,” kata Abdul Hak.

Isu itu bukan sahaja menjejaskan perkapalan domestik tetapi juga pembabitan kita di peringkat global berikutan kapal-kapal yang membawa bendera kebangsaan akan merosot dan ini mengurangkan kehadiran Malaysia di perairan antarabangsa.

“Kita dahulu mempunyai kapal-kapal yang membawa kontena ke Eropah. Tambahan pula, Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan kita perlu memanfaatkan kelebihan tersebut.

“Bagaimanapun, kapal-kapal Malaysia tidak lagi membawa komoditi itu ke China atau ke India dan perniagaan itu, sekarang ini diambil alih oleh kapal-kapal asing, membawa kepada kerugian pertukaran dalam mata wang asing,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dana pembangunan pengangkutan berjumlah RM3 bilion seperti yang diumumkan kerajaan terdahulu semasa Bajet 2018, Abdul Hak berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai pengagihan dana itu ke dalam industri maritim.

“Dana itu belum disalurkan lagi, ia sepatutnya membantu pemilik kapal dengan kadar faedah yang rendah semasa membeli kapal,” katanya sambil berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneruskan dana berkenaan bagi merangsang industri.

Beliau berharap dana itu akan memperkenalkan satu garis panduan dalam permohonannya seperti galakan untuk kapal berkenaan dibina di limbungan tempatan, kerana ia akan meningkatkan peluang pekerjaan dalam industri pembinaan serta pembaikan kapal.

Mengenai Pelan Induk Perkapalan Malaysia (MSMP) 2017-2022, Abdul Hak berkata, lebih banyak usaha yang perlu dibuat bagi menggerakkannya.

“Jujur saya katakan, sejak MSMP dilancarkan oleh bekas Menteri Pengangkutan pada tahun lepas, kita belum lagi duduk berbincang dan kita perlu memulakan dialog ini bagi mempercepatkan usaha itu,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan untuk memperluaskan pengecualian cukai korporat kepada kapal luar pesisir, kapal penunda/tongkang dan juga definisi ‘kapal’ itu harus selaras dengan semua agensi, seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Perkapalan Malaysia.

“Definisi kapal antara agensi-agensi kerajaan masih berbeza-beza dan ini perlu ditangani kerana ia secara langsung terkait dengan cukai pendapatan para pelaut dan cukai korporat pemilik kapal,” katanya. — Bernama

Advertisement