Anda di sini

Jumpa syabu dalam rumah, dua wanita direman polis, suspek utama dijejaki

Advertisement
 Sabri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah serta beberapa barang rampasan.
Sabri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah serta beberapa barang rampasan.

BAU: Polis kini menjejaki seorang lelaki dalam lingkungan umur 20-an sebagai suspek utama susulan penemuan syabu 50.8 gram di sebuah rumah di Kampung Segong, di sini Rabu lepas.

Ibu dan kekasih suspek utama kini direman susulan serbuan pada pukul 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Sabri Zainol berkata siasatan awal mendapati dadah bernilai kira-kira RM10,000 tersebut adalah milik suspek utama yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat aktiviti (pengedaran dadah) tersebut sejak tahun lepas dan perkara ini diakui sendiri kekasihnya.

“Kini usaha menjejakinya (suspek utama) sedang giat dijalankan dan kita percaya dia masih berada di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini hari ini.

Turut disita dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ialah dua kereta, barangan kemas dan wang tunai dengan anggaran keseluruhan mencecah RM108,050.

Beliau turut menolak kemungkinan suspek telah melarikan diri ke negara jiran.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Kalau dia (suspek utama) sayangkan ibu serta kekasihnya, dia akan menyerah diri kepada kita,” kata Sabri.

  • oleh
  • Advertisement