Anda di sini

Graduan TVET peneraju ke arah Revolusi Industri 4.0 di Malaysia

Advertisement
 Zulkifli (tengah) menyampaikan diploma kepada Damian Andrew Cathla, graduan               Kejuruteraan Awam, Politeknik Kuching Sarawak semalam. Turut kelihatan Kamaludin (kiri).
TAHNIAH: Zulkifli (tengah) menyampaikan diploma kepada Damian Andrew Cathla, graduan Kejuruteraan Awam, Politeknik Kuching Sarawak semalam. Turut kelihatan Kamaludin (kiri).

KUCHING: Graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan peneraju ke arah Revolusi Industri 4.0 di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia Zulkifli Abidin berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET negara melonjak naik kepada 91.4 peratus pada 2017.

Justeru katanya, banyak perubahan perlu dilakukan supaya Revolusi Industri 4.0 dapat dilaksanakan di Malaysia.

“Pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam Industri 4.0 terutama dalam mempersiapkan pelajar agar dapat berubah pantas dengan teknologi terkini.

“Bagi melahirkan modal insan berteraskan Industri 4.0 ini, institusi TVET harus mempunyai persekitaran ke arah industri ini dengan kandungan kurikulumnya yang berlandaskan industri dan dilengkapi dengan sistem pengajaran dan pembelajaran terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sidang empat Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak (PKS) di Dewan Jubli Perak PKS di sini semalam.

Tambah Zulkifli, tiga kemahiran paling relevan dalam Industri 4.0 ialah kemahiran belajar, kemahiran berfikir dan kemahiran insaniah.

Kemahiran insaniah kata-nya, dapat dipupuk melalui semangat kesukarelaan yang mampu memupuk nilai murni dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Di Malaysia katanya, sumbangan kumpulan sukarelawan ini dapat dilihat semasa berlakunya bencana seperti banjir, kebakaran serta membantu gelandangan dan aktiviti membersihkan pantai.

“Saya percaya silibus atau kursus di PKS turut me-nyelitkan aktiviti kesukarela-an menerusi badan-badan beruniform seperti Relasis dan Askar Wataniah.

“Aktiviti kesukarelaan ini adalah penting untuk membentuk pelajar yang lebih peka kepada persekitaran pekerjaan dan menjadi pendorong untuk memastikan modal insan Industri 4.0 memenuhi ketiga-tiga kemahiran dapat dilahirkan,” katanya.

Turut hadir Pengarah PKS Kamaludin Daud dan Timbalan Pengarah (Akademik) PKS Chow Tio Kiong.

Advertisement