Anda di sini

Gegaran susulan kuat gegar Lombok

Advertisement
 Seorang wanita menangis ketakutan sambil memeluk erat dua anaknya sejurus selepas gegaran susulan kuat melanda daerah Tanjung di utara Lombok semalam. — Gambar Adek Berry/AFP
PANIK: Seorang wanita menangis ketakutan sambil memeluk erat dua anaknya sejurus selepas gegaran susulan kuat melanda daerah Tanjung di utara Lombok semalam. — Gambar Adek Berry/AFP

MATARAM: Gegaran susulan yang kuat melanda Lombok di Indonesia semalam, yang menyebabkan panik di kalangan mangsa yang sudah pun trauma akibat gempa bumi besar yang mengorbankan lebih 160 orang di pulau percutian itu empat hari sebelum itu.

Gempa dengan magnitud 5.9 itu berlaku di kedalaman yang cetek di barat laut pulau itu, kata Jabatan Survei Geologi Amerika Syarikat, ketika agensi bantuan bergegas untuk mencari mangsa yang mungkin selamat di kalangan runtuhan yang berlaku dalam gempa Ahad lepas.

Ia merupakan gegaran susulan terkuat di antara kira-kira 355 gegaran susulan yang menggegarkan pulau itu sejak Ahad lepas, kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho.

Mangsa di sebuah pusat perlindungan dalam daerah Tanjung, utara Lombok, lari ke jalan sambil menangis dan menjerit, kata seorang pemberita AFP di lokasi.

Motosikal yang diletak di tepi jalan tumbang dan dinding beberapa bangunan berdekatan runtuh.

Seorang wanita yang memakai topi keledar motosikal kelihatan menangis ketakutan sambil memeluk erat dua anaknya.

“Kami terperangkap dalam trafik ketika menghantar bantuan, tiba-tiba ia rasa seakan-akan kereta kami dilanggar dari belakang, ia begitu kuat sekali,” kata saksi Sri Laksmi kepada AFP.

“Orang di jalan mula panik dan keluar dari kereta mereka, mereka lari bertempiaran ke pelbagai arah di tengah-tengah trafik.”

Gegaran susulan itu berlaku hanya empat hari sahaja selepas gempa bumi dengan magnitud 6.9 melanda Lombok, yang menurut agensi bantuan memusnahkan seluruh perkampungan di wilayah paling teruk terjejas di utara dan barat negara.

Seramai 164 orang kini disahkan terkorban dalam gempa itu, kata Nugroho kepada AFP, manakala 1,400 lagi cedera serius dan lebih 150,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Agensi berita kerajaan Antara melaporkan 347 orang maut dalam gempa itu tetapi Nugroho berkata jumlah itu tidak lengkap dan tidak disahkan.

Bagaimanapun semalam dia berkata “bilangan kematian sudah melonjak dengan ketara” tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Pihak berkuasa tempatan, kumpulan bantuan antarabangsa dan kerajaan pusat sudah mula mengatur bantuan, tetapi jalan yang rosak memperlahankan usaha untuk sampai kepada mangsa di kawasan pergunungan utara Lombok, yang teruk terjejas akibat gempa itu.

Bantuan mula tiba di beberapa wilayah paling terpencil, kata pegawai se-malam tetapi ramai orang yang kehilangan tempat tinggal masih belum menerima bekalan asas.

Di beberapa bahagian di utara Lombok, mangsa se-lamat kelihatan sedang berdiri di jalan dengan kotak kadbod sambil meminta derma dan makanan.

“Kami masih menunggu penilaian dari beberapa kawasan yang lebih terpencil di utara pulau tetapi ia sudah jelas bahawa gempa bumi pada Ahad lepas luar biasa dahsyat,” Christopher Rassi, selaku ketua pasukan penilaian Palang Merah di Lombok, menyebut dalam satu kenyataan.

“Saya melawat perkampungan kelmarin yang mus-nah sama sekali.” — AFP

Advertisement