Anda di sini

1.5 juta pengunjung dijangka banjiri ‘Floria Diraja Putrajaya 2018’

Advertisement
 Khalid (tiga kiri) melihat pelbagai spesies bunga selepas menyempurnakan majlis prapelancaran ‘Floria Diraja Putrajaya 2018’, semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Khalid (tiga kiri) melihat pelbagai spesies bunga selepas menyempurnakan majlis prapelancaran ‘Floria Diraja Putrajaya 2018’, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: ‘Floria Diraja Putrajaya 2018’ akan membuka tirai pada 25 Ogos ini sehingga 2 Sept dan dijangka menarik kira-kira 1.5 juta pengunjung ke pameran flora antarabangsa tersohor itu.

Bertemakan ‘10 Kegemilangan Floria’ dengan melibatkan pameran lebih 400,000 pokok pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan, festival floria itu akan berlangsung di Anjung Floria Event Centre, Presint 4 di sini dan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata Floria Diraja Putrajaya 2018 akan menghimpunkan kesemua bunga yang pernah menjadi bunga tema floria iaitu bunga raya, orkid, ros, bunga kertas, begonia, lily dan kekwa sempena meraikan ulang tahun ke-10 festival itu.

“Floria Diraja Putrajaya yang  mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa sejak penganjurannya telah mendapat sambutan hangat kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing.

“Kini, ia telah menjadi pemangkin dalam industri landskap dan bunga negara,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Floria Diraja Putrajaya 2018 di sini semalam.

Floria Diraja Putrajaya 2018 akan dibuka kepada lawatan umum mulai 25 Ogos hingga 2 Sept dari 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Harga tiket masuk Isnin hingga Jumaat bagi dewasa (warganegara) adalah RM12 dan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas (warganegara) pula RM6 manakala setiap dua kategori sama untuk warga asing pula masing-masing dikenakan bayaran RM24 dan RM12.

Untuk bayaran tiket masuk bagi Sabtu dan Ahad adalah RM15 bagi dewasa (warganegara) dan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas (warganegara) pula RM8 manakala setiap dua kategori sama untuk warga asing pula masing-masing dikenakan bayaran RM30 dan RM16.

Pengunjung digalakkan membeli tiket dalam talian iaitu mendapat potongan harga sebanyak 20 peratus. — Bernama

Advertisement