Anda di sini

Tiada bukti sahih mengaitkan kes penculikan kanak-kanak

Advertisement
 Abang Abaserah memberi jaminan tiada kes culik berlaku di Betong seperti tular di media sosial.
TIADA KES: Abang Abaserah memberi jaminan tiada kes culik berlaku di Betong seperti tular di media sosial.

TIADA bukti sahih mengaitkan kes penculikan kanak-kanak seperti yang tular di media sosial, namun ia tetap menimbulkan kebimbangan ibu bapa untuk melepaskan anak-anak terlibat aktiviti luar di sekolah.

Pegawai Perhubungan Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Saka Koperal Abang Abaserah Abang Julai berkata kebimbangan yang dizahirkan masyarakat menyebabkan sekolah menerima tekanan dengan kerisauan ditunjukkan ibu bapa.

“Kita tidak nafikan menerima laporan kejadian culik kanak-kanak melibatkan pelajar sekolah di kawasan ini sehingga tular di media sosial dan menimbulkan ketakutan masyarakat.

“Kita percaya kalangan masyarakat dalam ketakutan berikutan isu ini namun hasil siasatan dijalankan terhadap mangsa terbabit telah menjawab kekeliruan timbul.

“Tindakan menokok tambah cerita kononnya ada individu cuba menculik mangsa ketika berada di sekolah adalah tidak benar dan bercanggah dengan laporan siasatan terhadap mangsa.

“Isu ini timbul akibat segelintir pihak menularkan di media sosial kes cubaan menculik pelajar ketika berada di sekolah dengan pelbagai cerita ditokok tambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat khas pada program Permuafakatan Ibu Bapa/Penjaga Bersama Pentadbir SK Saka di Betong, baru-baru ini.

Abang Abaserah yang juga anggota PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong turut berpesan kepada ibu bapa supaya tidak mengambil mudah isu keselamatan anak-anak.

“Meskipun kita sedar perkara ditularkan tidak benar tetapi jangan leka kerana dikhuatiri ada yang ingin mengambil kesempatan terhadap berita yang digembar-gemburkan.

“Apa yang kita kesalkan perkara ini mengundang kerisauan masyarakat sekeliling yang percaya kejadian itu.

“Pada masa sama, tolong pesan kepada anak-anak agar berhati-hati di sekolah dan pergaulan mereka bersama rakan-rakan,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Saka Abang Willington Abang Godam berpendapat kerisauan ramai ibu bapa keselamatan anak-anak di sekolah memberi impak kepada pihak sekolah.

“Tanggungjawab mendidik dan menjaga pelajar ketika berada di sekolah adalah di bawah pihak sekolah justeru ibu bapa tidak perlu risau sehingga ada yang tidak menghantar anak ke sekolah kerana risau keselamatan mereka.

“Selain itu, kita turut mengambil berat kesihatan pelajar dan sentiasa menjaga kebersihan bagi mengawal sebarang penyakit.

“Sepertimana kita tahu masa sekarang tular di media sosial penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) boleh berjangkit jika kita tidak menjaga kebersihan.

“Saya harap ibu bapa tidak mengambil endah kebersihan anak-anak dan memberi penegasan agar tiada kes berlaku,” katanya.

Turut hadir Penolong Kanan (PK) HEM Roslan Hussin, PK KK Norlida Abdullah, Timbalan Yang Dipertua PIBG Donny dan ibu bapa.

  • oleh
  • Advertisement