Anda di sini

SPRM tahan tiga suspek termasuk pegawai jabatan kerajaan

Advertisement
KETIGA-tiga suspek dibawa keluar dari mahkamah selepas perintah reman dikeluarkan.
KETIGA-tiga suspek dibawa keluar dari mahkamah selepas perintah reman dikeluarkan.

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai jabatan kerajaan selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan kes rasuah.

Permohonan reman terhadap suspek, lelaki, 49, dilakukan oleh Penolong Penguasa SPRM Jaffaruddin Shahari di hadapan Majistret Herlina Muse di Mahkamah Tawau.

Turut ditahan, dua lagi suspek, lelaki, 29, dan seorang wanita, 43, untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) dan 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mengikut fakta kes, suspek utama disyaki meminta rasuah sebanyak RM3,000 daripada pengadu, semasa bertugas di Pejabat Kastam Bahagian Import Eksport Daerah Tawau.

Suspek utama dikatakan meminta wang rasuah itu pada 8 Ogos kira-kira jam 10.30 pagi sebagai balasan untuk melepaskan bot pengadu yang kononnya melakukan kesalahan.

Pengadu dikatakan tidak mengisytiharkan enjin botnya yang diimport dari Jepun dan diarahkan supaya menyerahkan wang itu kepada kerani di sebuah syarikat swasta.

Berikutan itu, SPRM turut menahan dua lagi suspek yang dipercayai bersubahat dengan suspek utama sebagai orang tengah dan menerima wang rasuah itu daripada pengadu.

  • oleh
  • Advertisement