Anda di sini

Sarawak komited pastikan industri minyak sawit yang lestari

Taib bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan (GEC) SOP Berhad Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho dan Abang Johari melakukan upacara memotong kek sebagai simbolik pada majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 SOP Berhad.
Taib bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan (GEC) SOP Berhad Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho dan Abang Johari melakukan upacara memotong kek sebagai simbolik pada majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 SOP Berhad.

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan industri minyak kelapa sawit di negeri ini mendapat pengiktirafan sepenuhnya Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang Disember 2019.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengeluaran produk pertanian dan perladangan termasuk minyak sawit dituntut agar memenuhi standard kelestarian.

Katanya, industri minyak sawit adalah penyumbang utama pendapatan dalam sektor pertanian di negeri ini dan juga berperanan sebagai antara mekanisme pembangunan sosio ekonomi dan infrastruktur di luar bandar. 

Pada 2017 katanya, industri kelapa sawit menyediakan pekerjaan kepada lebih 119,521 orang (penduduk tempatan dan pekerja asing) dengan lebih 39,213 pekebun kecil terlibat secara aktif .

“Bagi memenuhi syarat yang ketat, kita mengenakan moratorium pembukaan hutan bagi ladang kelapa sawit berskala besar kecuali bagi tanah hak adat bumiputera (NCR) untuk mengurangkan kemusnahan hutan. 

“Ini bermakna penanaman yang sedia ada perlu diurus secara lestari. Ini adalah dasar yang ditetapkan oleh Mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan dasar ini masih berkuatkuasa,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena Ulang Tahun Ke-50 Sarawak Oil Palms (SOP) Berhad di sini, malam Rabu.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Abang Johari juga berkata kerajaan Sarawak turut komited untuk memastikan sumber hutan negeri dikendalikan secara mampan.

“Kita berjanji untuk menjadikan 80 peratus daripada tanah kita sebagai hutan primer dan sekunder yang merangkumi hutan perindustrian untuk penanaman pokok sebagai bahan mentah untuk industri perkayuan.

“Malahan kita juga memutuskan untuk memperluaskan kawasan tadahan air, dikenali sebagai Jantung Borneo daripada 2.1 juta hektar kepada 2.7 juta hektar yang akan memastikan empangan Bakun, Baleh, Murum dan Batang Ai akan menerima air yang mencukupi,” katanya.

Bagi Estet Hutan Kekal (PFE), kata beliau, kerajaan merancang untuk menambahnya dari 4.3 juta hektar kepada enam juta hektar manakala Kawasan Perlindungan Penuh (TPA) dari 788,000 hektar hingga satu juta hektar. 

“Sarawak juga melaksanakan STLVS (Sistem Pengesahan Kesahihan Kayu Sarawak) dan SFM (Pengurusan Lestari Hutan) yang merupakan undang-undang dan peraturan mengenai hutan dan perdagangan kayu untuk negeri ini,” katanya.