Anda di sini

Pesakit talasemia sertai 'Yes I Can Do It'

FRANCIS serta ahli jawatankuasa dan panel penceramah merakamkan gambar bersama peserta program.
FRANCIS serta ahli jawatankuasa dan panel penceramah merakamkan gambar bersama peserta program.

KOTA KINABALU: Hampir 50 pesakit talasemia sekitar daerah ini menyertai program 'Yes I Can Do It' anjuran bersama Persatuan Talasemia Sabah dan Wad Rawatan Pesakit Harian, Hospital Queen Elizabeth (HQE), bertempat di Dewan Kinabalu HQE pada Selasa.

Presiden Persatuan Talasemia Sabah Francis Mujim berkata, program Yes I Can Do It yang julung kalinya diadakan merupakan program berbentuk bimbingan dan motivasi bertujuan memberi pendedahan kepada peserta agar terus cekal menghadapi cabaran serta mengutamakan penjagaan kesihatan diri secara berterusan.

Menurut beliau, pihak hospital dan Persatuan Talasemia negeri ini bukan sahaja mempergiat pelbagai program pendidikan kesihatan mengenai penyakit talasemia kepada masyarakat sebaliknya, program bimbingan khusus kepada pesakit talasemia terus diberi tumpuan.

"Selain sesi ceramah berhubung peluang dan cabaran berpandukan status kesihatan, program sehari ini turut diisi dengan aktiviti secara berkumpulan sebagai asas mempertingkatkan jati diri dan sikap positif kalangan peserta," jelasnya.

Antara penceramah jemputan termasuklah Pegawai Unit Psikologi Kaunseling Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) Clarice Andrew, Nurul Ihsan Ismail dari Pusat Hidayah Centre Sabah serta KJ Siti Rahmah Latang selaku fasilitor program.