Anda di sini

Najib didakwa lagi

Advertisement
 Najib keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
TENANG: Najib keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Najib, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Datuk Azman Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (‘Rentas’) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib kelihatan tenang semasa jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan satu persatu kepadanya.

Jurubahasa: Datuk Seri faham pertuduhan?

Najib: Faham.

Jurubahasa: Datuk Seri mengaku bersalah atau tidak?

Najib: Tidak mengaku, minta dibicarakan.

Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon supaya kes itu digabungkan dengan tiga kes pecah amanah dan satu kes salah guna kuasa yang dihadapi Najib sebelum ini di Mahkamah Jenayah Tinggi 3.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib tidak membantah permohonan itu.

“Empat tuduhan itu adalah ‘predicate offences’ manakala tiga tuduhan baharu boleh dikatakan ‘subsidiary offences.’ Adalah wajar kes ni disatukan dan didengar dengan empat tuduhan itu di Mahkamah Tinggi 3,” katanya.

Hakim Azman membenarkan permohonan pendakwaan dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk digabungkan dan hujahan berkaitan jaminan.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan berkenaan. — Bernama

Advertisement