Anda di sini

Makanan berfungsi, apakah fungsinya?

Advertisement
 Produk susu kultur (probiotik) yang berada di pasaran Malaysia.
BAKTERIA BAIK: Produk susu kultur (probiotik) yang berada di pasaran Malaysia.

HIPPOCRATES, seorang ahli perubatan Yunani pernah berkata: “Jadikan makanan itu ubatmu, dan ubat itu makananmu”.

Sungguhpun telah diungkapkan ribuan tahun dahulu, mungkin masih relevan hingga kini.

Pemakanan yang seimbang boleh memberikan tenaga harian, membekalkan nutrisi penting untuk penyelenggaraan fisiologi badan, menghindari penyakit dan meningkatkan imuniti.

Pada masa kini, kian ramai rakyat Malaysia memilih untuk mengambil produk-produk makanan tambahan atau supplemen, untuk menambah baik sistem badan seperti kulit, penghadaman serta imunisasi.

Ini merupakan strategi makanan berfungsi.

Makanan berfungsi merupakan satu sumber makanan, yang mempunyai penambahan daripada segi komposisi zat dan gizi, lebih daripada kandungan biasa dan mampu memberi impak positif kepada satu atau lebih sistem badan, seterusnya meningkatkan kesihatan individu.

Adalah penting untuk ditekankan bahawa, makanan berfungsi adalah sejenis makanan, tidak tergolong dalam kategori dadah atau ubatan.

Makanan berfungsi boleh hadir dalam bentuk semula jadi iaitu dalam sifat makanan konvensional, selain makanan diubah suai dan makanan disintesis.

 Produk telur mengandungi DHA yang berada di pasaran Malaysia.
SEGAR: Produk telur mengandungi DHA yang berada di pasaran Malaysia.

Makanan berfungsi konvensional merupakan makanan komoditi yang semula jadi seperti sayuran, buahan, tenusu dan daging.

Makanan jenis konvensional sebegini kaya dengan bahan bioaktif yang telah tersedia ada secara semula jadinya.

Contohnya buahan sitrus seperti oren yang mengandungi vitamin C mampu meningkatkan tahap imunisasi badan dan mengurangkan risiko menghidap penyakit Alzheimer.

Vitamin C adalah sejenis vitamin yang larut dalam air dan tidak mampu disimpan di dalam badan. Oleh yang demikian, pengambilan vitamin C haruslah konsisten dan berpanjangan.

Contoh lain, sayur bayam yang mempunyai kadar vitamin K yang tinggi.

Organ hati akan menggunakan vitamin K untuk membuat protein khusus untuk pembekuan darah.

Protein pembekuan darah ini akan membantu membentuk klot darah pada dinding saluran darah yang rosak dan mampu mengelak dari menghidap penyakit haemophilia, kegagalan pembentukan klot darah.

Kekangan pengambilan makan berfungsi melalui pemakanan konvensional adalah kebiasaannya mengandungi dos nutrien yang rendah di mana pengguna mungkin perlu mengambil makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak untuk memenuhi keperluan harian.

 Buahan sitrus mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.
BERMANFAAT: Buahan sitrus mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Lantas, makanan berfungsi secara ubah suai dan disintesis telah diperkenalkan untuk memenuhi keperluan kesihatan pengguna.

Makanan berfungsi diubah suai merupakan makanan harian semula jadi seperti makanan konvensional, namun satu atau lebih bahan berfungsi dalam makanan asal telah diubah secara semula jadi (pemakanan atau pembajaan) atau pengubahsuaian genetik, untuk menambah baik nutrisi pada makanan tersebut.

Contohnya, telur ayam yang mengandungi omega-3.

Telur ayam ini dihasilkan oleh induk ayam yang diberi komposisi diet yang mempunyai biji rami atau mikroalga.

Biji rami atau lebih dikenali sebagai flaxseed merupakan sejenis bijian yang mempunyai gizi yang tinggi dan merupakan sumber asid lemak penting.

Apabila biji rami ini dihadam oleh ibu ayam, sebilangan asid alpha linolenic (ALA) akan melalui proses pemecahan kepada asid docosahexaenoic (DHA), dan kedua-dua asid lemak itu akan terpindah secara semula jadi ke dalam telur-telur ayam.

Makanan berfungsi disintesis mengandungi penambahan bahan yang telah disintesis terlebih awal sebelum dicampurkan ke dalam sesuatu makanan.

Pelbagai contoh makanan disintesis berfungsi telah berada di pasaran tempatan, tanpa kita sedari.

Satu contoh ialah minuman susu kultur. Minuman ini telah dihasilkan dengan penambahan bakteria baik (probiotik) iaitu Lactobacillus dan Bifidobacterium ke dalam susu.

Minuman susu kultur mampu membantu meningkatkan sistem imunisasi badan.

Selain daripada itu, penambahan komponen prebiotik untuk menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus besar contohnya, inulin yang ditambah pada susu formula boleh menguatkan sistem imun bayi.

Contoh lain ialah susu formula warga tua yang telah dipertingkatkan konsentrasi kalsium, dan susu formula ibu hamil yang ditambah asid folik bagi membantu perkembangan bayi dalam rahim ibu.

Kalsium mempunyai kelebihan dalam meningkatkan kadar kekuatan tulang.

Manakala, asid folik pula merupakan vitamin B9 sintetik yang baik untuk perkembangan bayi, dan mampu mengelakkan kandungan daripada menghadapi kecacatan tiub saraf.

Selain daripada itu, sterol tumbuhan yang ditambah pada mentega, mampu menjadi agen penghalang penyerapan kolesterol ke dalam badan.

Negara Jepun merupakan negara pertama yang menerajui usaha pemantauan makanan berfungsi dalam skala nasional, dengan memperkenalkan konsep ‘Foods for Specified Health Use’ (FOSHU) sejak 1980-an.

Produk makanan berfungsi di Jepun haruslah mendapat label FOSHU, di mana ia telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun, dengan pengesahan bukti-bukti saintifik yang nyata.

Semua makanan atau minuman berfungsi hendaklah mendapat sijil atau label FOSHU jika hendak dipasarkan di Jepun.

Namun di Malaysia, tiada definisi rasmi serta undang-undang yang digubal bagi penghasilan produk makanan berfungsi.

Perkara ini, didorong oleh kurangnya pemahaman tentang makanan berfungsi di Malaysia, dalam kalangan pengguna dan para pembuat polisi itu sendiri.

Rata-rata produk makanan berfungsi di pasaran Malaysia adalah dalam bentuk makanan proses iaitu makanan tambahan atau supplemen, yang hanya perlu mendapat kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hal ini menimbulkan kekeliruan, kerana produk yang diluluskan oleh KKM adalah hanya untuk menyatakan bahawa sesuatu produk itu selamat untuk dimakan, melalui penelitian bahan-bahan yang terkandung di dalamnya.

Namun begitu, tiada pengesahan keberkesanan produk tersebut untuk pemuliharaan sistem badan.

Senario ini menyebabkan lambakan produk makanan kesihatan, di mana ramai pengeluar mengambil kesempatan memasarkan produk mereka dengan memberikan akuan kesihatan yang melampau dan sewenang-wenangnya tanpa bukti saintifik, apatah lagi kajian secara klinikal.

Dengan hanya berlandaskan ‘testimoni pengguna’, ‘amalan makanan sunnah’ dan ‘pengiklanan yang melampau’, kebanyakan pengeluar produk ‘makanan berfungsi’ di Malaysia dilihat mengaut keuntungan semata-mata dengan menjual produk mereka pada harga premium untuk makanan yang sebenarnya boleh didapati dengan mudah, pada harga yang jauh lebih murah.

Ketiadaan peraturan dan kawalan pemasaran untuk produk sebegini, menyebabkan pemain industri mengambil kesempatan terhadap pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan dalam nutrisi dan pemakanan.

Situasi ini juga, pada jangka masa panjang akan menyebabkan pengguna hilang kepercayaan terhadap produk makanan tambahan tempatan, pada akhirnya memandang rendah kepada produk makanan berfungsi yang dihasilkan di Malaysia.

Oleh yang demikian, peraturan dan pemantauan berterusan haruslah segera diambil untuk meningkatkan kualiti produk-produk makanan berfungsi di Malaysia.

Akta yang sesuai haruslah digubal, serta para pemain industri haruslah diberi penerangan yang jelas tentang konsep pembuatan, pengeluaran dan pengkomersilan makanan berfungsi.

Masa depan untuk pasaran makanan berfungsi adalah cerah lebih-lebih lagi di Malaysia.

Jangka hayat manusia dapat dipanjangkan dan kualiti hidup dapat dipertingkatkan melalui pendekatan makanan berfungsi.

Perubahan gaya pemakanan ke arah mementingkan makanan berfungsi perlu digiatkan bagi mencapai tahap masyarakatyang lebih sihat dan bahagia.

Pengambilan makanan berfungsi secara efisien juga merupakan suatu alternatif yang bijak.

Selain daripada mudah untuk didapati, kos pengambilannya juga rendah berbanding dengan ubat.

Amalan makan berfungsi juga boleh dijadikan sebagai rawatan sesetengah penyakit pada masa akan datang dan ini mampu mengurangkan pesakit daripada mengambil ubat-ubatan yang memudaratkan pada jangka masa panjang.

  • oleh
  • Advertisement