Anda di sini

Jadikan penguasaan ilmu, maklumat agenda utama kerajaan

Advertisement
NORAZLINAH (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada peserta persidangan selepas merasmikan majlis itu.
NORAZLINAH (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada peserta persidangan selepas merasmikan majlis itu.

KOTA KINABALU: Penguasaan ilmu dan maklumat dalam kalangan masyarakat harus dijadikan agenda utama kerajaan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong Tien Fatt berkata, kedua-dua aspek berkenaan mampu menjadi penentu kelangsungan sesuatu bangsa.

Menurutnya, ilmu dan maklumat berperanan menjadi sumber kuasa dalam hampir semua hal.  

"Kita dapat saksikan dalam banyak hal, mana-mana negara yang menguasai ilmu dan maklumat mampu menguasai pengaruh negara lain.

"Ia termasuklah dalam bidang ekonomi, pertahanan malah bidang budaya dan cara hidup di negara lain.

"Justeru, ini menunjukkan bangsa yang menguasai ilmu dan maklumat akan lebih mendahului bangsa lain," katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Persidangan Wanita Berwibawa 2018 anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) Sabah  di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh pembantunya Norazlinah Arif.

Stephen berkata, golongan wanita turut memainkan peranan penting ke arah mewujudkan budaya ilmu dalam kalangan rakyat.

Katanya, penyebaran ilmu dan maklumat bukan sahaja melalui media konvensional, malah turut memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi terkini.

Pihaknya yakin menerusi persidangan itu banyak perkongsian bermanfaat diberikan terutamanya daripada tokoh-tokoh wanita yang menyampaikan ceramah.

"Saya juga berharap melalui persidangan ini kita dapat mencapai matlamat mewujudkan wanita yang berwibawa bagi mencapai dasar 30 peratus kedudukan wanita di peringkat pembuat keputusan.

"Persidangan ini juga tentunya dapat memotivasikan wanita dalam bidang pengurusan dan kepimpinan ke arah pencapaian status wanita berwibawa," katanya.

Seramai 350 peserta yang terdiri daripada penjawat awam, anggota badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin dan usahawan wanita menyertai persidangan tahunan itu.

  • oleh
  • Advertisement