Anda di sini

 Najib didakwa terima wang RM42 juta hasil aktiviti haram

Advertisement
Najib diiringi oleh anggota polis ketika hadir untuk didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Najib diiringi oleh anggota polis ketika hadir untuk didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Najib, 65, yang kelihatan tenang, hanya berkata, "faham" selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada bekas Perdana Menteri itu. Najib, yang berkemeja putih, sut biru dan bertali leher, masuk ke kandang tertuduh kira-kira 9.10 pagi, dalam keadaan tidak bergari.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa telah menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang adalah hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities ("Rentas") dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis, 2014 dan 10 Feb, 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)  2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata adalah lebih elok sekiranya pihak pendakwaan memohon supaya kes hari ini digabungkan bersama dengan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya sebelum ini, iaitu tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mohamad Hanafiah berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk kedua-dua kes berkenaan dibicarakan bersama tetapi buat masa ini hanya memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

"Kes akan dipindahkan ke mahkamah mana, bergantung kepada pihak pendaftar mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes itu di pindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Selain Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Muhammad Shafee pula dibantu peguam Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Prosiding hari ini dipenuhi dengan barisan peguam, timbalan pendakwa raya, anggota keluarga Najib termasuk dua anaknya Nooryana Najwa dan Mohd Norashman serta wakil media. Bagaimanapun, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tidak hadir di mahkamah. - Bernama
 

Advertisement