Anda di sini

‘Kau Takkan Tahu’ single terbaharu Zizan Razak

PELAWAK, pelakon, pengacara serta penyanyi versatil popular Malaysia Zizan Razak tidak perlu diperkenalkan lagi kerana selain berbakat dalam semua bidang yang diceburi, beliau juga telah memenangi pelbagai anugerah serta mendapat pengiktirafan sepanjang bergelar anak seni.

Dan kini, pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak yang berasal dari Dungun, Terengganu ini kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul ‘Kau Takkan Tahu’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh label Rocketfuel Entertainment, Zizan mengucapkan rasa syukur kerana tahun 2018 merupakan tahun yang dilimpahi dengan rezeki yang tidak putus-putus.

“Hasrat saya untuk menghasilkan single ‘Kau Takkan Tahu’ berjaya juga dilaksanakan walaupun pada masa yang sama saya sedang sibuk dengan program Jozan, filem animasi Wheely dan kolaborasi dengan produksi dari seberang,” kata Zizan.

Masih mengekalkan genre hip hop, ‘Kau Takkan Tahu’ ciptaan sepenuhnya oleh Alif by Magic Potions yang menceritakan tentang perihal seorang teman wanita yang bekerja di tempat yang sama dengan teman lelakinya dan sentiasa mengesyaki teman lelakinya mempunyai hubungan dengan wanita lain sehingga akhirnya mereka putus.

“Walaupun lagu ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan hidup saya, namun saya pasti ramai lelaki di luar sana yang pernah mengalami nasib yang sama di mana teman wanita mereka sentiasa mencari kesalahan dan dijadikan alasan untuk meninggalkan kita,” jelas beliau.

“Proses rakaman single ini sebenarnya sekejap sahaja tetapi perancangan untuk menghasilkannya telah pun bermula sejak dua tahun yang lepas kerana pelbagai aspek yang perlu diambil kira daripada segi melodi, lirik, siapa yang akan dipaparkan, kemasan produk akhir dan pelbagai lagi,” tambahnya.

Selain sibuk mempromosikan filem terbaharu dan program TV, Zizan juga turut diintai produksi dari Indonesia berkaitan usahasama dalam menjayakan drama bersiri dan juga filem.

Menurut Zizan, beliau masih lagi berusaha untuk mengembangkan bakatnya di negara seberang kerana mendapat undangan untuk berlakon dengan produksi di sana.

“Saya optimis dengan peminat-peminat di Indonesia kerana sebelum meneroka pasaran di sana, sudah ada peminat-peminat yang menyapa saya melalui media sosial dan rata-rata mereka memberi reaksi positif terhadap karya-karya seni saya,” katanya.

Akhir sekali, Zizan berharap agar lagu ‘Kau Takkan Tahu’ dapat diterima ramai dan menjadi lagu evergreen serta mendapat permintaan agar sentiasa diputarkan di stesen-stesen radio seluruh Malaysia.

Lagu ‘Kau Takkan Tahu’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu ‘Kau Takkan Tahu’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.