Anda di sini

Effendi nafi terbabit dengan PRIBUMI, sokong Abang Johari

Advertisement
 

KUCHING: Spekulasi yang mengatakan pembabitan bekas menteri persekutuan Tan Sri Mohd Effendi Norwawi dalam Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI) sebagai pengerusi adalah tidak benar.

Effendi yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini malah menafikan beliau mengenali presiden PRIBUMI.

“Saya tidak kenal dia (presiden). Memang benar tidak ada (kenal),” katanya.

Presiden PRIBUMI yang enggan disiarkan namanya kini berada di Kuala Lumpur berkata kepada Utusan Borneo bahawa Effendi merupakan pengerusi PRIBUMI.

PRIBUMI dikaitkan dengan kontroversi pada minggu lepas yang mendakwa sembilan wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertainya.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Presiden PRIBUMI turut berkata khabar mengenai sembilan wakil rakyat itu adalah benar.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama wakil rakyat terbabit.

“Ada dua lagi ADUN bersetuju masuk PRIBUMI,” katanya sambil menambah, masa akan tiba untuk beliau mendedahkan wakil rakyat dimaksudkannya.

Presiden PRIBUMI berkata lagi, “Effendi bakal Ketua Menteri Sarawak 2021”.

Menjawab persoalan itu, Effendi berkata beliau sangat menyokong Abang Johari sebagai Ketua Menteri.

“Saya sangat menyokong Abang Johari dan (beliau) melakukan kerja baik untuk Sarawak. Beliau mengukuhkan hubungan dengan KL. Saya menyokong Abang Johari itulah pendirian saya,” tegasnya.

Beliau berkata hubungannya dengan Abang Johari amat baik. 

Abang Johari katanya melaksanakan tugas yang terbaik untuk membangunkan Sarawak.

“Saya kini tidak terbabit dalam politik dan memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan,” katanya.

PRIBUMI sebelum ini dikaitkan dengan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sarawak.

Usaha melebarkan sayap BERSATU di Sarawak didahului Johan Mohamad yang pada hujung minggu lepas mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja BERSATU Cawangan Stampin. 

Johan turut menjelaskan BERSATU dan PRIBUMI merupakan parti berlainan.

Advertisement