Anda di sini

Dulu conteng dinding, kini Keith kartunis terkenal

Advertisement
 Replika meja kerja kartunis Gempak Starz yang bertempat di galeri Kadokawa Gempak Starz dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PEMANGKIN KEJAYAAN: Replika meja kerja kartunis Gempak Starz yang bertempat di galeri Kadokawa Gempak Starz dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
 Chong yang lebih dikenali sebagai Keith sibuk menyiapkan komik Lawak Kampus. — Gambar Bernama
MINAT MENDALAM: Chong yang lebih dikenali sebagai Keith sibuk menyiapkan komik Lawak Kampus. — Gambar Bernama

PERNAH dirotan ibu kerana gemar menconteng dinding rumah, namun minat Chong Kah Hwee, tidak pernah pudar.

Lebih dikenali dengan nama Keith, beliau kini bukan sahaja kartunis terkenal di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

Menceritakan perjalanan kariernya sebagai kartunis, Keith, 43, bermula dengan karya sulungnya iaitu lerang komik Lawak Kampus pada 2003.

Komik yang berkisar tentang gelagat lucu dan kenakalan pelbagai karakter itu bukan sahaja berjaya membangkitkan kembali industri komik Malaysia yang agak suram ketika itu malah mengharumkan nama negara kerana turut menambat hati para peminat komik luar negara.

DORAEMON CETUS MINAT

Keith, yang giat sebagai kartunis sejak 15 tahun lalu, memberitahu bahawa komik Doraemon adalah pencetus minatnya untuk melukis komik. Bertitik tolak dari situ Keith tidak menoleh ke belakang lagi.

“Komik Jepun karya Fujiko F. Fujio itu banyak menampilkan ciri-ciri imaginasi yang membuat saya terus tenggelam dalam penceritaannya.

“Kisah khayalannya benar-benar mempertingkat pemikiran saya ke satu tahap lain,” kata Keith kepada Bernama di galeri syarikat Kadokawa Gempak Starz di Kuala Lumpur.

Mengimbau kembali, beliau dengan penuh bersemangat menceritakan adegan-adegan menarik komik Doraemon yang ‘dikenalinya’ sejak sebelum bersekolah terutamanya mengenai pintu ajaib Doraemon yang membuka laluan ke mana sahaja yang diinginkan.

Terlalu teruja dengan setiap ciri imaginasi komik itu, beliau terus mengukir impian untuk menghasilkan sebuah kisah menarik dengan gaya lukisan yang mampu menambat hati remaja pada suatu hari kelak.

PEMANGKIN KEJAYAAN

Ketika zaman persekolahan, Keith menyertai beberapa pertandingan melukis selain menjadi ketua Kelab Komik di sekolahnya.

Sebaik tamat persekolahan, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang reka bentuk grafik di InHouse Multimedia College di Kuala Lumpur. Tamat pengajian, beliau bekerja untuk seketika namun Keith sedar komik tetap di hatinya dan bukan grafik.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam bidang animasi di Lim Kok Wing University of Creative Technology selama dua tahun dalam bidang Animasi 2D dan kemudian ke Sheridan College, Kanada, dalam jurusan animasi 3D.

Tamat pengajian, beliau memutuskan untuk menghasilkan kisah menarik melalui komik demi minat dan memenuhi impiannya.

Walaupun industri komik di Malaysia ketika itu belum berkembang dengan hanya beberapa karya terkemuka seperti Ujang dan Gila-Gila, ia tidak menghalang keghairahan anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk menceburi bidang berkenaan.

Namun, sebelum ‘terjun ke alam komik’, Keith bertanyakan pendapat ibunya terlebih dahulu.

“Ya, walaupun ibu pernah merotan saya, ibu jugalah yang menggalakkan saya untuk teruskan cita-cita dalam bidang komik,” tambahnya sambil menarik nafas lega.

Keputusan menyertai syarikat Kadokawa Gempak Starz (Gempak Starz) pada 2003, membawa beliau kepada kedudukannya sebaris dengan artis komik terbaik Asia Tenggara pada hari ini.

Lawak Kampus adalah yang paling berjaya dengan meraih kira-kira 150,000 pembaca bagi setiap edisi sehingga ke hari ini di samping komik hiburan seperti Lawak Seleb, Wasabi, Playground dan lain-lain.

REALITI PENCETUS INSPIRASI

Sebagai seorang peminat tegar Lawak Kampus, penulis sering tertanya-tanya mengenai inspirasi beliau dalam menggarap komik itu.

Ternyata karakter dan adegannya adalah cetusan dari zaman persekolahan beliau, kehidupan masyarakat sekeliling dan kisah-kisah menarik dari Facebook.

Hampir setiap karakter dalam komik itu berilhamkan pelbagai karakter rakan sekolahnya seperti Bebop, Xena dan Si Kosong.

Bebop adalah seorang pelajar yang mempunyai banyak jerawat, sering berasa rendah diri namun mempunyai ramai kawan. Xena pula seorang pelajar yang ketika kecilnya sangat comel tetapi menjadi gemuk kerana pemakanannya ketika membesar.

Keith mempunyai seorang kawan yang tidak gemar belajar, tidak suka berlama-lama dalam dewan peperiksaan dan tidak peduli markah yang diperolehinya. Maka, tercetuslah watak Si Kosong.

“Setiap watak Lawak Kampus mempunyai kisah tersendiri,” jelas beliau.

Dengan berleluasanya penggunaan internet, lebih mudah baginya mencari idea dalam menghasilkan komik selain memastikan kandungannya mengikuti trend terkini.

Memandangkan majoriti pembaca setia adalah golongan remaja, Lawak Kampus juga menampilkan penggunaan alatan teknologi terkini seperti Iphone10, Huawei P20, Nintendo dan lain-lain.

ELEMEN TEMPATAN

Menyentuh unsur-unsur tempatan dalam komiknya, Keith berkata bahawa budaya Malaysia sangat penting, “Kita perlu menerapkan budaya kita. Untuk membuatkan seseorang itu tertawa, suasana dan kisah-kisahnya hendaklah berkaitan dengan para pembaca itu.”

Antara yang diselitkan di dalam jalan cerita komik berkenaan adalah van Milo yang menyediakan minuman percuma kepada murid sekolah, penggunaan aplikasi Foodpanda (penghantaran makanan) dan aplikasi Grab (perkhidmatan pengangkutan).

Keith mengakui tidak terlalu memfokuskan kepada standard lawak antarabangsa hingga terpaksa membuang elemen-elemen tempatan kerana baginya, jalan cerita komiknya perlu mudah difahami oleh pembaca tempatan dan beliau tidak mahu menghampakan para pembaca yang setia menyokongnya.

Bagi pasaran luar negara, syarikat penerbitan yang telah membeli hak cipta kandungan komik Lawak Kampus, akan menyemak dan menyunting terlebih dahulu agar bersesuaian dengan budaya negara berkenaan.

KEJAYAAN LAWAK KAMPUS

Acap kali meneliti gambar beliau yang terpapar di muka hadapan setiap edisi komik Lawak Kampus, penulis rasa kagum akan hakikat bahawa seorang kartunis etnik Cina mampu menampilkan komik dalam bahasa Malaysia sehinggakan berjaya menarik perhatian rakyat pelbagai bangsa di negara ini

Menurut Keith, memang sejak mula beliau sendiri yang bertanggungjawab menyiapkan Lawak Kampus dalam bahasa Malaysia, namun kini edisi bahasa Malaysia diambil alih oleh jabatan editor, manakala beliau perlu menumpukan perhatian kepada edisi Bahasa Mandarin yang diperkenalkan sejak 2004.

Lawak Kampus bukan sahaja mendapat sambutan dan berjaya mengumpul pengikut tersendiri di Malaysia malah di beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan China.

Demi menarik minat pembaca luar negara, komik itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda negara-negara berkenaan selain nama komik juga berbeza.

Misalnya, versi bahasa Inggeris untuk pasaran Singapura ialah Kuso High School manakala versi Indonesia dikenali sebagai Komik Anak Sekolah Gokil.

Gempak Starz juga melancarkan beberapa aplikasi permainan khususnya untuk generasi milenial seperti Lawak Kampus: Dimension Drift dan Lawak Kampus: MathemaDice.

Selaras perkembangan era pendigitalan buku, syarikat itu juga merancang untuk melancarkan e-komiknya kelak.

CABARAN INDUSTRI KOMIK

Walaupun industri komik sangat mencabar dan sentiasa memerlukan idea baharu, Keith tidak pernah jemu mahupun berputus asa. Setiap empat bulan, beliau perlu terus mencari idea baharu untuk penghasilan komik edisi seterusnya.

Bagi Keith: ”Ramai pembaca masih membaca dan menyokong komik kami. Sesungguhnya, walaupun agak sukar, kami perlu terus melukis sehingga suatu hari kami tidak mampu melukis lagi. Selagi termampu membuatkan orang ketawa, teruskanlah berbuat demikian.”

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, kartunis yang tidak lokek senyuman itu menitipkan sedikit nasihat untuk bakal kartunis yang bertekad menceburi bidang komik.

Beliau berpesan agar tidak menyimpan idea di dalam kepala terlalu lama sebaliknya terus melukis dan tunjukkan lukisan itu kepada orang ramai.

“Jika kurang memuaskan dan tidak mendapat respons yang baik, terus melukis dan melukis, suatu hari pasti anda akan menjadi lebih baik,” tegas beliau. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement