Anda di sini

Abang Johari: Perisian terkini perlu dibangunkan untuk mantapkan lagi ekonomi digital

Abang Johari ketika berucap pada majlis perasmian MySEC2018 di sebuah hotel di sini, hari ini.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perisian yang terkini perlu dibangunkan untuk memantapkan lagi pembangunan ekonomi digital di Sarawak menerusi penggunaan teknologi terkini.

Beliau berkata pembangunan perisian yang terkini dan terbaik dapat membantu Sarawak mentransformasikan ekonomi kepada ekonomi moden dan dihubungkan dengan dunia luar.

"Saya amat menghargai usaha Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) menganjurkan persidangan ini kerana perisian sangat penting kerana tanpa perisian, perkakasan tidak akan berfungsi, sama seperti kereta tanpa minyak, ia tidak akan bergerak.

"Saya percaya Unimas dapat membantu kerajaan negeri mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi moden menerusi pembangunan perisian terkini yang dapat menghubungkan Sarawak dengan dunia luar," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kejuruteraan Perisian Malaysia ke-11 (MySEC2018) di sebuah hotel di sini, hari ini.

MySEC2018 dianjurkan bersama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Unimas dan Malaysian Software Engineering Interest Group (MySEIG).

Abang Johari berkata persidangan itu juga akan membantu kerajaan negeri mengenal pasti hala tuju pembangunan ekonomi di seluruh negara khususnya di Sarawak.

"Kita mempunyai banyak peranti seperti telefon pintar, tablet dan sebagainya tetapi tanpa perisian yang baik, peranti-peranti ini tidak dapat melonjakkan pembangunan ekonomi digital negeri.

"Sarawak telah memperkenalkan dasar ekonomi digital bermula tahun ini hingga 2022 iaitu pembangunan ekonomi kita akan berdasarkan data khususnya 'big data' ," katanya.

Beliau menambah, 'big data' itu merupakan asas untuk Sarawak melakukan penyelidikan dan pembangunan pada masa sama menambah nilai sumber-sumber semula jadi yang ada di Sarawak menggunakan peranti.

Penggunaan peranti itu katanya sudah tentu memerlukan perkhidmatan sokongan seperti keselamatan siber, pengaturacaraan pada masa sama menggunakan teknologi dalam proses pengeluaran.

Hadir sama, Naib Canselor Unimas Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Sulong Matjeraie, Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademi & Antarabangsa) Prof Dr. Fasihuddin Baharuddin Ahmad dan Dekan FSKTM, Prof Dr Johari Abdullah.