Anda di sini

Wan Azizah tidak akan lepaskan jawatan

Advertisement
 Wan Azizah ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
CERIA: Wan Azizah ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kabinet serta sebagai Ahli Parlimen Pandan, bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, beliau akan mengekalkan semua jawatan yang digalasnya walaupun Anwar menang tanpa bertanding jawatan presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Memang tidak (lepaskan jawatan). InsyaAllah (akan kekalkan semua jawatan termasuk sebagai Ahli Parlimen Pandan),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, keputusan sama ada Anwar akan bertanding di kerusi Parlimen akan ditentukan kemudian.

Kelmarin, Anwar secara tidak rasmi menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR selepas tiada individu lain menghantar borang pencalonan untuk mencabar beliau pada pemilihan PKR 2018.

Dalam pada itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah turut menegaskan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh hingga akhir penggal.

“Permatang Pauh cinta abadi saya, ‘so, I am pretty much committed’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemenangan Anwar membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi anggota parti yang mahu Anwar memimpin PKR.  

“Ini membuktikan anggota parti ingin melihat Datuk Seri Anwar diberikan peranan penting dalam memimpin parti sebagai sebuah blok besar dalam Pakatan Harapan dan sudah tentu, kepimpinan beliau amat penting untuk dimanfaatkan parti dan PH,” katanya.

Ditanya sama ada beliau optimis akan berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan itu, Mohamed Azmin berkata ia terpulang kepada anggota parti.

Mohamed Azmin berdepan dengan Rafizi Ramli yang turut mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan. — Bernama

Advertisement