Anda di sini

Tujuh kotak disyaki dadah dilarikan penjenayah

Advertisement

SEREMBAN: Tujuh kotak yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin dengan anggaran berat 50 kilogram dilarikan penjenayah dalam satu rompakan di Pejabat Narkotik Jabatan kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jijan dekat sini, jam 3 pagi kelmarin.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam dalam kenyataan di sini, semalam berkata, dadah berkenaan merupakan barang yang dirampas JKDM daripada sebuah kontena yang ditahan di Pelabuhan Westport, Klang, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, kontena yang dipecahkan itu telah ditarik ke Pejabat Narkotik, Jijan untuk siasatan lanjut.

“Susulan daripada kejadian rompakan tersebut, JKDM telah membuat laporan polis dan pihak polis berjaya menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Katanya daripada lima suspek yang ditahan untuk membantu siasatan lanjut, dua adalah pegawai JKDM, dua pengawal keselamatan dan seorang lelaki awam.

Subromaniam berkata, kesemua suspek direman enam hari sehingga 11 Ogos selepas memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Majistret Seremban.

JKDM juga kata Subromaniam, akan menjalankan siasatan dalaman bagi melihat kemungkinan terdapat penglibatan pegawai jabatan itu.

Katanya JKDM akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja sekiranya terdapat pegawainya terlibat dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, JKDM telah meningkatkan rondaan dan memperketatkan tahap kawalan keselamatan di Pejabat Narkotik, Jijan dengan meletakkan Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA).

“Langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan ini turut dilaksanakan di semua stor barang rampasan kastam di seluruh negara,” katanya. — Bernama

Advertisement