Anda di sini

Filem ‘Rise: Ini Kalilah’ bakal muncul di pawagam pada 13 September ini

Advertisement
__alt__

FILEM ‘Rise: Ini Kalilah’ yang bertemakan perpaduan dan berinspirasikan pilihan raya umum 9 Mei lalu bakal muncul di pawagam seluruh negara dan dijangka ditayangkan bersempena Hari Malaysia, 13 September depan.

Penerbit filem itu Fred Chong berkata ‘Rise: Ini Kalilah’ merupakan sebuah filem berdurasi 100 minit yang mendapat inspirasi dari semua kelompok rakyat Malaysia yang berganding bahu keluar mengundi untuk sebuah negara yang baharu.

Katanya, filem itu juga merupakan satu penghargaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan barisan kepimpinannya kerana berjaya mencapai matlamat yang boleh dikatakan hampir mustahil  dilaksanakan.

“Penggambaran filem ini dijalankan di Malaysia, Singapura dan United Kingdom. Berlatar belakang detik-detik waktu mendebarkan dalam catatan sejarah Malaysia, projek filem ini dilancarkan tepat pada masa tatkala  Malaysia mengalami perubahan yang terpenting selepas 61 tahun mendapat kemerdekaan,” kata beliau.

Bercakap pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Chong berkata filem itu menampilkan kolaborasi tiga pengarah termasyhur iaitu Saw Teog Hin yang pernah mengarah filem ‘Puteri Gunung Ledang’, Nik Amir Mustapha (‘Terbaik Dari Langit’) dan Prem Nath (‘Vere Vazhi Ille’).

“Mereka bertiga berjaya menempuhi cabaran yang paling getir untuk menghabiskan produksi filem dalam masa yang singkat iaitu sekadar tiga bulan sahaja.

“Filem ini dibintangi gandingan pelakon hebat iaitu Remy Ishak dan Mira Filzah, “ katanya.

— Bernama

Advertisement