Anda di sini

Dr M berterima kasih kepada Jokowi bantu serah ‘Equanimity’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan Indonesia dalam membantu menyerahkan kapal layar mewah ‘Equanimity’ yang dirampas, kepada pihak berkuasa Malaysia.

Dr Mahathir dalam satu klip video yang dirakam di Fukuoka, Jepun dan dimuat naik ke YouTube semalam berkata kerjasama erat itu telah membantu kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan satu masalah yang dihadapi.

“Saya betul-betul berterima kasih kepada kerajaan Indonesia terutamanya kepada Bapak Jokowi, Presiden Indonesia yang begitu bekerjasama dengan Malaysia untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir yang kini berada di Jepun untuk lawatan kerja selama empat hari juga berkata, beliau percaya kapal tersebut adalah milik kerajaan Malaysia kerana ia dibeli dengan wang Malaysia yang dicuri pihak tertentu.

Dalam video selama dua minit 28 saat itu, perdana menteri juga berkata, sekiranya ada mana-mana pihak yang mendakwa kapal layar mewah itu adalah milik mereka, mereka perlu menunjukkkan bukti ke atas dakwaan mereka.

Dr Mahathir berkata, jika mereka dapat membuktikan bahawa mereka telah membeli kapal tersebut dengan wang mereka sendiri dan bukannya wang yang dicuri, maka mereka berhak untuk mendapatkan balik kapal itu.

“Tetapi mengikut laporan dan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, mereka berpendapat kapal ini dibeli dengan wang daripada 1MDB yang cuba dibersihkan dengan membeli kapal, bangunan-bangunan dan lain-lain supaya duit ini tidak lagi ternampak dan menjadi duit yang dicuri mereka,” katanya.

Kapal layar mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dilaporkan milik ahli perniagaan Malaysia yang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low telah dirampas di Bali pada Februari lepas.

Pada April lepas, mahkamah Indonesia telah memutuskan bahawa kapal layar itu tidak wajar dirampas dan seharusnya dikembalikan kepada pemilik asalnya. Bagaimanapun kerajaan Indonesia sekali lagi merampas kapal itu pada Julai.

Pada Sabtu lepas, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menyerahkan balik kapal tersebut kepada Malaysia. Ia kini dipercayai telah tiba di perairan Batam, Indonesia dan dalam perjalanan ke Malaysia. — Bernama

Advertisement