Anda di sini

Cabaran Sarawak, China sama

Advertisement
 Abang Johari dan Cheng mencantumkan gambar burung kenyalang dan panda pada platform khas sebagai simbolik kerjasama antara Sarawak dan China pada Majlis Perasmian Forum Perniagaan Sarawak-China 2018.
SIMBOLIK: Abang Johari dan Cheng mencantumkan gambar burung kenyalang dan panda pada platform khas sebagai simbolik kerjasama antara Sarawak dan China pada Majlis Perasmian Forum Perniagaan Sarawak-China 2018.

KUCHING: Sarawak dan China akan menjalinkan kerjasama mencari penyelesaian inovasi bagi membolehkan penduduk luar bandar Sarawak terlibat aktif ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak dan China berkongsi cabaran-cabaran sama dalam melibatkan komuniti luar bandar dalam e-dagang.

Beliau berkata, Sarawak akan memfokus kepada penyediaan infrastruktur diperlukan bagi membolehkan semua komuniti terlibat dalam ekonomi digital.

Katanya, bagi tujuan itu, Sarawak memulakan usaha mentransformasikan ekonomi tempatan menerusi ruang siber kerana ia merupakan sempadan baharu.

Selain itu katanya, revolusi digital berkembang dengan pesat dan kini dunia sudah bercakap mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 di mana data pintar, kepintaran buatan, realiti tambahan dan teknologi pengenalan wajah menjadi amalan.

“Dengan penembusan penggunaan telefon mudah alih yang tinggi di Malaysia dan khususnya di Sarawak, kita memerlukan penyelesaian inovatif untuk menjangkau penduduk luar bandar.

“Kita percaya ini adalah bidang kerjasama yang dapat dijalinkan antara Sarawak dan China selain kolaboratif dalam pertanian, pelancongan, kesihatan, pendidikan, pembinaan struktur mega dan landasan e-dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ‘Mempercepatkan Pembangunan Ekonomi Sarawak di Arena Global Menerusi Inisiatif-Inisiatif Ekonomi Global’ pada Majlis Perasmian Forum Perniagaan Sarawak-China 2018 di sebuah hotel di sini semalam.

Abang Johari berkata, Sarawak dan China perlu bekerjasama rapat antara satu sama lain bagi memastikan setiap orang dapat terlibat aktif dalam e-dagang.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan ekonomi digital mempunyai nilai yang tinggi, bagaimanapun harus dipastikan ia bersifat inklusif dan perdagangan adil.

“Sarawak sudah memulakan ‘e-wallet, Sarawak Pay sebagai langkah pertama untuk bersaing dalam bidang berdaya saing ini.

“Terdapat banyak trend utama yang  baharu untuk e-dagang yang Sarawak perlu beri perhatian seperti kemunculan dalam talian ke luar talian (O2O), pembayaran digital, kehadiran dan platform media sosial serta model peruncitan baharu,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak telah melancarkan Strategi-Strategi Ekonomi Digital bagi membolehkan kerajaan merancang serta menjangkakan kapasiti serta infrastruktur diperlukan.

Tambahnya, usaha sedang dilakukan dan percaya hasil forum yang berlangsung selama dua hari itu akan memperkukuhkan lagi inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Sarawak merekodkan nilai dagangan dengan China sebanyak RM15.8 bilion bagi tahun 2017.

Beliau berkata, daripada nilai itu, RM10.1 bilion merupakan jumlah eksport Sarawak ke China manakala nilai import RM5.7 bilion.

“Bermakna Sarawak lebih banyak mengeksport ke China berbanding mengimport (barangan) dari negara itu,” katanya.

Menurut Abang Johari, ketika ini kerjasama perniagaan antara China dan Sarawak melibatkan gas asli cecair (LNG), produk-produk petroleum, minyak sawit, produk-produk kayu dan komponen elektronik, barangan perkilangan, jentera dan makanan.

Selain itu katanya, Sarawak telah menandatangani beberapa perjanjian persefahaman bagi pelaburan, perniagaan dan kerjasama ekonomi seperti dengan Jabatan Perdagangan Wilayah Yunnan, Wilayah Fujian beberapa tahun lalu untuk mengukuhkan lagi kerjasama perniagaan.

“Kerjasama paling ketara  dan terbaharu ialah dengan Xian LONGi Materials melibatkan anggaran pelaburan RM1.06 bilion dan dengan Comtec Solar Systems Group Ltd melibatkan anggaran pelaburan RM1.2 bilion.

“Kerjasama antara Sarawak dan China tidak hanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan tetapi meliputi bidang pelancongan, budaya dan pendidikan,” katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antabangsa dan E-Dagang merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Konsulat Jeneral China Cheng GuangZhong.

  • oleh
  • Advertisement