Anda di sini

SHOAW tokoh ulama kebanggaan Sarawak

Advertisement
 Dr Abdul Rahman bersama Misnu dan tetamu kenamaan lain pada Majlis Peringatan Haul Ke-100 Tahun SHOAW di Masjid Darul Husni Warahmah, Taman Hussein, kelmarin.
INGATI ULAMA: Dr Abdul Rahman bersama Misnu dan tetamu kenamaan lain pada Majlis Peringatan Haul Ke-100 Tahun SHOAW di Masjid Darul Husni Warahmah, Taman Hussein, kelmarin.

KUCHING: Satu Majlis Peringatan Haul Ke-100 Tahun Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) telah diadakan di Masjid Darul Husni Warahmah, Taman Hussein di sini, kelmarin.

Majlis itu dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Husni Warahmah, Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sarawak dan Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS).

Tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.

Dalam ucapannya, Dr Abdul Rahman memberitahu, SHOAW adalah seorang tokoh ulama kelahiran Sarawak yang menjadi kebanggaan umat Islam negeri ini.

“Tokoh ulama ini telah mencipta kemasyuhan di persada dunia keilmuan dalam bidang ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab, falsafah, matematik, log-mantiq dan falak astronomi dan pernah menjadi guru di Masjidilharam, Mekah.

“Meskipun telah lama bermaustatin di tanah suci, beliau sentiasa mengambil berat akan perihal dan permasalahan umat Islam di dunia.

“Hasilnya beliau yang bergiat aktif dalam aktiviti keilmuan  telah melahirkan ramai anak didik sehingga mencipta legasi kebaktian dalam menyebar dakwah Islam termasuk di negeri ini.

“Sesunguhnya, tokoh ulama seperti beliau merupakan suatu khazanah bernilai bagi negeri kita, yang membuktikan kebolehan dan kemampuan anak negeri ini sehingga mencapai tahap kecemerlangan yang begitu tinggi,” katanya.

Justeru majlis seumpama ini kata Dr Abdul Rahman, merupakan usaha baik untuk mengingati sumbangan tokoh ulama itu selain memberi dorongan untuk melahirkan lebih ramai ilmuan Islam kelahiran Sarawak yang mampu membimbing umat dan berbakti kepada masyarakat.

“Mungkin acara ini dapat menjadi permulaan yang positif dalam merungkai lebih banyak khazanah umat Islam yang belum lagi diketahui masyarakat khususnya umat Islam di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Saya harap dengan penganjuran majlis ini dapat memeprkayakan bahan pembacaan berkaitan topik Islam di Sarawak di samping mengangkat wacana ini ke medan arus perdana sekali gus memperkenalkan tokoh besar ini (SHOAW) kepada khalayak umum,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.

Advertisement