Anda di sini

Polis nafi kes cubaan culik kanak-kanak, jual organ di Serian

Advertisement
Paparan skrin mesej tidak benar yang tular di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp dan Facebook yang menimbulkan keresahan orang ramai.
Paparan skrin mesej yang tular di Facebook dan WhatsApp yang menimbulkan keresahan orang ramai.

KUCHING: Mesej tular kononnya berlaku kes cubaan menculik kanak-kanak dan penjualan organ di Serian adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, pihaknya memandang serius tindakan sesetengah pihak yang menularkan maklumat sedemikian di media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Pihak polis menafikan ada berlakunya kes seperti itu di daerah Serian dan tiada laporan polis diterima setakat ini mengenai kejadian cubaan culik kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, pihaknya juga telah memanggil seorang individu berumur 20 tahun yang memuat naik berita palsu itu ke akaun Facebooknya.

Jelasnya, individu tersebut hanya membuat salin dan tampal daripada sepupunya tanpa mengetahui jika maklumat berkenaan adalah sahih atau sebaliknya.

"Pihak polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak benar yang ditularkan di media sosial, dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih sama ada berita tersebut benar atau tidak," katanya.

Advertisement