Anda di sini

Melaka buka ruang kepada rakyat jadi pemerhati dalam mesyuarat induk PBT

Advertisement

JASIN: Kerajaan negeri akan membuka ruang kepada rakyat negeri itu untuk menjadi pemerhati dalam Mesyuarat Induk Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT) bagi melihat secara lebih dekat proses penggubalan dasar atau polisi PBT berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Tey Kok Kiew berkata inisiatif berkenaan selaras dengan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ke arah pentadbiran dan pengurusan negeri yang lebih telus dan mampan.

Beliau berkata Mesyuarat Induk PBT berkenaan akan disertai empat PBT di negeri tersebut iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin.

“Perkara berkenaan masih di peringkat cadangan dan setakat ini tiada halangan untuk melaksanakannya dalam masa terdekat. Selepas kita mendapat persetujuan daripada Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan.

“Kita ingin tunjukkan kepada rakyat tentang cara pentadbiran kerajaan PH yang mana semua proses penggubalan dasar dan polisi PBT dilaksanakan secara telus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penerimaan Obor Asia Pacific Masters Games 2018 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata orang awam yang ingin menjadi pemerhati dalam mesyuarat berkenaan perlu memaklumkan sehari lebih awal kepada pihak urusetia agar tempat duduk untuk mereka dapat disediakan.

Beliau berkata PBT merupakan institusi penting yang terdekat dengan rakyat khususnya penduduk di sesuatu kawasan dan perlu memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa berada pada tahap cemerlang kerana ia akan memberi impak kepada kerajaan negeri atau pusat.

Katanya antara peranan penting PBT ialah memastikan kewangan mereka diurus dengan sebaiknya tanpa pembaziran dan dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai insentif termasuk infrastruktur yang terkini selain menyelesaikan pelbagai masalah rakyat termasuk banjir.

“Setiap cukai yang dikutip adalah daripada rakyat..hasil titik peluh rakyat jadi ia perlu digunakan sebaik mungkin dan kita tegas dalam isu ini. Segala pembelanjaan kewangan juga akan dikawal dan proses mendapatkan projek akan dilakukan secara telus melalui tender terbuka,” katanya. — Bernama

Advertisement