Anda di sini

Hormati peruntukan RM1b untuk sekolah daif

Advertisement
 Dr Annuar (tengah) merakam kenangan bersama para peserta dan fasilitator KLIK_SPM 2018 di UCTS semalam.
LAKUKAN TERBAIK: Dr Annuar (tengah) merakam kenangan bersama para peserta dan fasilitator KLIK_SPM 2018 di UCTS semalam.

SIBU: Kerajaan Sarawak mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati peruntukan dana RM1 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di negeri ini yang dibuat kerajaan terdahulu.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee menegaskan, dana RM1 bilion itu telah diluluskan di bawah bajet persekutuan tahun lepas.

“Kita berharap apa yang diperuntuk tidak akan ditangguhkan,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Klinik Intensif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (KLIK_SPM) 2018 di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) semalam.

Dr Annuar mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa peruntukan khas 2018 sebanyak RM35.74 juta telah diberikan kepada Kerajaan Sarawak untuk pembaikan dan penyelenggaraan 853 sekolah.

Maszlee dalam kenyataan Facebooknya menerusi ringkasan jawapan beliau di sidang Parlimen pada 31 Julai lepas berkata, penyaluran peruntukan dibuat berdasarkan keutamaan skop kerja yang disyorkan Jabatan Pendidikan Malaysia (JPM) serta tertakluk kepada jumlah peruntukan keseluruhan yang diterima pihak kementerian.

Bagi projek sekolah daif Sarawak tahun ini yang melibatkan 116 sekolah, Maszlee berkata, 41 projek telah siap dan tujuh projek telah mencapai kemajuan lebih 80 peratus.

Mengenai perkara itu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, peruntukan RM419 juta telah digunakan untuk menaik taraf 116 sekolah daif di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Apa yang kita mahu adalah lebih daripada jumlah itu. Oleh itu, senarai 116 sekolah tidak boleh dimasukkan di bawah peruntukan RM1 bilion yang diluluskan tahun lepas.

“Dalam erti kata lain, kita masih mempunyai RM1 bilion. Kita mahukan kerajaan PH menunaikan janji peruntukan RM1 bilion walaupun dijanjikan kerajaan sebelumnya di bawah bajet persekutuan,” ujarnya.

Dr Annuar berkata, Kerajaan Sarawak juga mahu kerajaan pusat memberi respons kepada pinjaman RM1 bilion yang ditawarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membina semula sekolah usang di seluruh negeri.

Abang Johari membuat tawaran itu kepada kerajaan persekutuan semasa merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong baru-baru ini.

“Ini kerana seterusnya mesti ada rancangan untuk menaik taraf semua sekolah yang usang di seluruh negeri Sarawak.

“Pada masa ini, kita tidak pernah mendengar mengenai perkara ini tetapi beliau (Maszlee) menyatakan beliau akan melakukannya.

“Namun, kita tidak melihat pelan induk untuk membaiki sekolah usang tetapi memberi masa kepadanya untuk melakukannya,” jelasnya.

Untuk tujuan ini, Dr Annuar juga melahirkan kekecewaan dengan komen netizen yang membuat perbandingan antara kerajaan sekarang dan sebelum ini berhubung masalah sekolah usang.

“Anda tidak boleh membuat perbandingan dengan cara itu.

“Kita tahu bahawa kerajaan PH memerintah kurang daripada 100 hari, sementara kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya telah memerintah selama 60 tahun.

“Anda lihat masalah sekolah usang telah dibawa apabila Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri ditubuhkan pada tahun lepas.

“Rakyat telah mengubah kerajaan kerana mereka menginginkan sesuatu yang lebih baik, jadi berikan mereka sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Di Sarawak, terdapat kira-kira 1,020 sekolah usang.

KLIK_SPM 2018 yang memasuki tahun kelima, dianjurkan Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS) dengan kerjasama UCTS dan Pusat Khidmat DUN Nangka.

Hadir sama ialah Pengerusi PGBS Abang Fairul Syarmil Abang Mohd dan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan UCTS Profesor Dr Salfarina.

  • oleh
  • Advertisement