Anda di sini

Empangan baharu perlu tangani masalah bekalan air - KM Sabah

Advertisement
 


PENAMPANG: Sabah memerlukan sebuah empangan baharu sebagai langkah proaktif menangani masalah kekurangan bekalan air yang dijangka mencapai tahap kritikal dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar).

Beliau berkata pembinaan empangan baharu tersebut sangat penting dalam memastikan ratusan ribu penduduk di beberapa daerah di Pantai Barat Sabah termasuk Kota Kinabalu; Papar; Penampang; Inanam dan Tuaran tidak berhadapan dengan krisis air malah mendapat bekalan secukupnya.

Untuk itu, katanya, kerajaan Sabah akan membina Empangan Papar sebagai perancangan jangka panjang mengatasi masalah tersebut memandangkan kapasiti air ketika ini kurang 15 peratus daripada bekalan keseluruhan.

“Kami perlu bina empangan baharu kerana kami percaya bekalan air di Kota Kinabalu (dan kawasan sekitarnya) tidak mencukupi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Jadi, saya fikir amat penting untuk menanganinya pada ketika ini.

"Kita tidak mahu tunggu sehingga kekurangan bekalan air sebanyak 15 peratus ini (menjadi kritikal) jika kita tidak diatasi… bukan hanya di Penampang; Papar; tetapi juga daerah berdekatan Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas projek Empangan Papar diumumkan Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah Datuk Peter Anthony yang telah membuat lawatan ke lokasi pembinaan empangan berkenaan di Kampung Bisuang, Papar, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pembinaan Empangan Papar itu akan dilakukan di kawasan lain dan bukannya di lokasi sama bagi membina projek Empangan Kaiduan.

Projek Empangan Kaiduan dirancang kerajaan negeri sebelum ini telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk; aktivitis dan badan bukan kerajaan.

Pada 2 Ogos, Peter dalam lawatan itu berkata, kerajaan negeri tidak akan meneruskan projek Empangan Kaiduan tetapi akan membina Empangan Papar sebagai alternatif menangani masalah air yang melanda Pantai Barat Sabah.

Menurutnya pembinaan Empangan Papar yang menelan kos RM2 bilion itu dijangka dimulakan pada hujung tahun ini.

Beliau berkata empangan itu bermula di Sungai Papar di Kampung Bisuang, kira-kira 15 kilometer dari jalan utama di laluan lama Papar-Kota Kinabalu, dan akan membekalkan kira-kira 700 juta meter padu air apabila pembinaannya selesai tiga hingga empat tahun.

Peter turut mengingatkan Empangan Papar bukan seperti projek kontroversi Empangan Kaiduan kerana pembinaannya tidak akan menjejaskan kampung-kampung di Penampang, dan menurutnya penduduk Kampung Bisuang juga bersedia dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek itu. - Bernama
 

Advertisement