Anda di sini

Profesional muda kurang diberi peluang terlibat bentuk landskap politik Sarawak

Advertisement
WAN AZIZAN
WAN AZIZAN

KUCHING: Golongan profesional muda kurang diberi peluang untuk terlibat dalam membentuk landskap parti politik di negeri ini.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin berkata demikian pada Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak di sini, semalam.

Beliau memberitahu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu di majoriti kerusi parlimen di Semenanjung disebabkan faktor undi anak muda di sana.

“Kita tidak memanfaatkan sebaiknya profesional muda dan banyak lagi yang tercicir dalam politik sekali pun, tiada tempat untuk mereka terlibat sama kerana dibimbangi mengganggu gugat kedudukan mereka yang sedia ada.

“Kita perlu belajar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam berpolitik. Lihat sahaja calon-calon mereka ketengahkan, anak-anak muda, yang tua pula menjadi majlis syura, menegur, menilai serta memerhati tindak-tanduk sekiranya anak-anak ini menang pilihan raya. Bersediakan kita untuk belajar?” tegasnya.

Dedah Wan Azizan lagi, masih ramai anak muda terutamanya dari kalangan masyarakat Islam buta politik dan tidak ambil tahu tentangnya.

“Walhal, politiklah yang mencorakkan masa depan pemerintahan negara atau negeri,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dijangka sengit dan wujud teori akan berlakunya perubahan dalam parti politik yang memerintah sekarang.

Jelasnya, jika parti memerintah sekarang tidak melakukan ‘top-overhaul’ ke atas barisan tertinggi kepimpinannya, lambat laun pasti berlaku perubahan.

“ABIM meyakinkan kejayaan tidak akan datang dengan sentimen emosi dan perasaan, hentikanlah sebarang bentuk provokasi kaum dan agama.

“Kita di zaman Malaysia baharu di mana pengundi akan menilai berdasarkan merit, tiada ketakutan lagi dalam menukar kerajaan dan ini telah dibuktikan,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan politik perlu bertunjangkan ilmu dan strategi mantap di samping gerak kerja berpasukan yang kuat.

Beliau menegaskan, perlu diwujudkan perbincangan dalam kalangan ahli politik yang berbeza ideologi dalam suasana kekeluargaan demi masa depan agama dan bangsa.

Malah, beliau mahu melihat penglibatan bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam agar pandangan ini dapat disatukan dan tidak memandang enteng pandangan golongan belia.

Wan Azizan berkata, golongan belia perlu cakna kepada dunia politik kerana akan menentukan negara yang akan diwarisi generasi akan datang.

“Kita perlu keluar dari keselesaan yang sedia ada, bersedia untuk berubah atau kita akan diubah, sayangkan agama dan bangsa kita dengan mempersiapkan generasi muda dengan ilmu, buka ruang kepada mereka untuk meluahkan pandangan mereka,” katanya.

Advertisement