Anda di sini

Siri baharu AS beri tumpuan kepada pembunuhan Trayvon Martin

Advertisement
 The Trayvon Martin Story’ di Washington, DC.   — Gambar AFP
SIRI BAHARU: Gambar fail bertarikh 16 Mei 2018 ini menunjukkan (dari kiri) Tracy Martin dan Sybrina Fulton semasa menghadiri tayangan ‘Rest in Power: The Trayvon Martin Story’ di Washington, DC. — Gambar AFP

PEMBUNUHAN Trayvon Martin, seorang remaja berkulit hitam yang pergi ke sebuah kedai di Florida untuk membeli Skittles tetapi ditembak mati oleh seorang penjaga kawasan tetangga sukarela, membangkitkan kemarahan di Amerika Syarikat pada 2012.

Enam tahun kemudian, sebuah siri televisyen baharu menghidupkan semula apa yang telah berlaku dan memaksa penonton untuk berdepan dengan kesengsaraan yang merenggut perasaan selepas kehilangan seorang anak dalam apa yang ibu bapa Trayvon dan pembuat filem harap akan membawa perubahan.

‘Rest in Power: The Trayvon Martin Story’, yang ditayangkan di saluran Paramount Network dan BET, sebuah doku-siri yang sebahagiannya dibiayai taikun rap Jay Z dan dijadual bersiaran dalam enam siri mingguan.

Ia menjelaskan kehilangan yang dialami manusia – menunjukkan dengan dekat bagaimana ibu Trayvon, Sybrina Fulton, terpaksa memilih di antara kesedihan dengan perjuangan untuk menegakkan keadilan.

Penonton melihat si bapa Tracy Martin mengingati bagaimana Trayvon, ketika berusia sembilan tahun, menyelamatkannya daripada dapur yang terbakar tetapi patah hati kerana tidak dapat melindungi anaknya yang berusia 17 tahun dalam sebuah komuniti berpagar di Florida.

“Saya mahu orang menggunakan apa yang berlaku kepada Trayvon sebagai contoh – bahawa kita perlu sibuk sekarang,” kata Fulton di satu tayangan di Harlem.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu berlaku kepada anak anda atau kepada orang yang anda sayangi untuk berkata, ‘Ok, saya perlu membuat sesuatu’.”

Siri itu menjalinkan masalah rasisme yang sedang berlaku di Amerika dengan perdebatan tentang kawalan senjata api dan bagaimana Persatuan Raifal Kebangsaan yang berpengaruh telah melobi bagi menjadikan senjata api lebih mudah untuk dibeli dan dilepaskan.

- ‘PATAH HATI’ -

Ia menerokai usaha keluarga berkenaan untuk menuntut keadilan, bagaimana penembak George Zimmerman menjadi seorang wira haluan kanan ekstrim dan melakar garisan daripada tembakan ke atas Trayvon hingga kepada kemunculan pergerakan Black Lives Matter dan apa yang dipanggil “white lash” (sebat putih) yang mempengaruhi pemilihan Presiden Donald Trump pada 2016.

“Kita membuka Kotak Pandora dan saya tidak tahu apa yang akan berlaku,” kata Tracy di hujung episod pertama, selepas satu klip yang menunjukkan Trump melaungkan janji kempennya “We will make America great again” (Kita akan jadikan Amerika hebat semula).

Reviu ternyata positif. Akhbar The Guardian menyifatkannya sebagai satu “kemenangan”, yang meneliti ketidakadilan kaum “dengan kemahiran dan memberi tumbukan yang amat padu”.

“Patah hati dan penderitaan di sini tidak dapat dielak, dan itu mungkin maksudnya,” tulis akhbar Los Angeles Times.

Trayvon mati di Sanford, sebuah bandar dengan sejarah perkauman di mana Zimmerman berulang kali menghubungi polis tentang orang berkulit hitam dan kumpulan Ku Klux Klan mengusir wira besbol berkulit hitam Jackie Robinson dari padang pada 1946.

“Ini adalah perkara yang seusia dengan negara, dan jenis kebencian dan keganasan dan pembunuhan yang telah berlaku di Sanford adalah gambaran bagi cerita Amerika,” kata pengarah bersama Jenner Furst kepada hadirin di Harlem.

Rakaman video menunjukkan Zimmerman memberitahu polis bahawa Trayvon mengugut untuk membunuhnya, sebelum dibenarkan pulang, dan penyampaian satu panggilan 911 di mana ibu bapa Trayvon mendengar anak mereka menjerit “tolong”.

Dakwaan Zimmerman bahawa dia mempertahankan diri bermakna dia tidak ditangkap, yang memaksa keluarga Trayvon untuk meletakkan diri ke dalam tangan peguam hak sivil yang menjadikan kes itu perhatian ramai pada peringkat kebangsaan.

- ‘KEBAS’ -

Undang-undang ‘stand your ground’ (pertahankan kedudukan anda) di Florida, yang diluluskan oleh gabenor Republikan, Jeb Bush, pada 2005, membolehkan rakyat di negeri itu untuk menggunakan kekerasan maut bagi mempertahankan diri jika mereka rasa nyawa mereka terancam.

Zimmerman pada akhirnya dibebaskan daripada tuduhan melakukan pembunuhan darjat kedua oleh juri.

Markeis McGlockton ditembak mati pada awal bulan ini di Clearwater, Florida, selepas satu pergaduhan tentang ruang letak kereta untuk golongan kurang upaya. Penembak tidak didakwa di bawah undang-undang ‘stand your ground’.

Kekuatan siri itu ialah dalam wawancara dengan keluarga mangsa, baik pada masa lalu dan sekarang, kata-kata Zimmerman sendiri dalam pita rakaman, dan temu ramah dengan pasukan peguam hak sivil hebat yang dengan pantas mengangkat kes itu.

Sejak kematian Trayvon, beberapa lelaki kulit hitam tidak bersenjata sudah terbunuh di tangan anggota polis, yang mencetuskan protes di seluruh negara dan menyelami jiwa sendiri tentang rasisme institusi dan kekejaman polis.

Siri itu datang dari pasukan yang sama di sebalik ‘Time: The Kalief Browder Story’ tentang seorang remaja kulit hitam yang menghabiskan masa selama tiga tahun dalam penjara sementara menunggu perbicaraan kerana didakwa mencuri sebuah beg galas. Pada 2015, dia membunuh diri.

“Ketidakadilan ini berlaku setiap hari. Amerika seakan-akan semakin kebas kepada semua ini,” kata penerbit eksekutif Chachi Senior.

“Harapan kita sebe-narnya ialah agar Amerika menonton ini, melihat diri sendiri, merenung dan diharap berubah menjadi lebih baik dalam kapasiti tertentu.” — AFP

  • oleh
  • Advertisement