Anda di sini

Pasar Tani Kinabatangan beri manfaat kepada penduduk

Advertisement
 Pasar Tani Kinabatangan kini beroperasi pada Rabu dan Sabtu.
JADI TUMPUAN: Pasar Tani Kinabatangan kini beroperasi pada Rabu dan Sabtu.

KINABATANGAN: Kawasan ini merupakan pekan atau daerah yang berada di tengah-tengah laluan antara Sandakan dan Lahad Datu serta mempunyai keluasan sebesar negeri Pahang.

Selain itu, Kinabatangan juga terkenal dengan budaya atau etnik Sungai serta ekopelancongan yang menarik.

Menariknya, daerah itu juga mempunyai sebuah pasar tani yang telah memberi manfaat dan kemudahan kepada penduduk setempat.

Atas permintaan masyarakat, Pasar Tani Kinabatangan telah dilaksanakan pada April 2010 pada setiap Sabtu dan kemudiannya ditambah Pasar Tani Rabu (malam) yang mulai beroperasi pada Februari 2014.

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Kinabatangan Azmin Kumin berkata, penambahan hari operasi itu jelas membuktikan masyarakat Kinabatangan memerlukan pasar tani untuk membeli barang keperluan walaupun telah wujudnya pasar awam dan tamu ketika itu.

“Pasar Tani Kinabatangan menempatkan lebih 90 peserta dengan gabungan dua hari yang berbeza iaitu pada Sabtu bermula dari 6 pagi sehingga 1 petang manakala, pada Rabu bermula 3 petang sehingga 9 malam.

“Pelbagai barangan jualan yang memastikan pelanggan tidak perlu ke banyak tempat untuk mencari bekalan barang dapur. Bagi yang inginkan suasana santai, Pasar Tani Malam Rabu juga menyediakan kawasan makan berkanopi dan sekali sekala terdapat hiburan seperti ‘busking’ untuk program sambutan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata hasil sungai seperti ikan sungai dan udang galah menjadi pilihan penduduk setempat selain hasil laut, daging, telur ayam dan telur masin serta durian merah yang merupakan daya tarikan utama pengunjung ke pasar tani itu.

Selain itu katanya, lebih daripada 30 jenis makanan juga boleh ditemukan di pasar tani berkenaan.

“Impian ingin menjadikan Pasar Tani Kinabatangan sebagai pusat atau tumpuan masyarakat dengan harga yang berpatutan melalui Program JBD seperti yang dilancarkan agar terus berkekalan,” jelasnya.

Advertisement