Anda di sini

Polis cari lelaki bantu siasatan kes bunuh di Sibu

Advertisement
Stanley menjawab pertanyaan media. Turut kelihatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sibu, DSP Benedict Faris Jimoi.

SIBU: Polis sedang mencari seorang lelaki untuk membantu siasatan kes pembunuhan penjawat awam di kediaman sewanya di Jalan Tiong Hua, di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Philip Uja, 40, dilihat kali terakhir oleh jiran mangsa sekitar jam 8 malam di luar rumah sewa mangsa.

"Mangsa pernah memberitahu rakan-rakannya bahawa lelaki itu kerap datang untuk berjumpa dengannya dan kali terakhir dilihat oleh orang di situ pada jam 8 malam 1 Ogos lalu," katanya.

Katanya, polis masih mengenal pasti hubungan antara mangsa dan lelaki itu yang juga berasal dari Kanowit.

Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, dijumpai mati oleh rakan-rakannya berada di atas lantai di tepi katil pada 2.30 petang semalam.

Mayat mangsa ditemui dengan kaki dan tangannya diikat ke belakang serta mukanya ditutup dengan kain.

Menurut Stanley, mereka pergi mencari mangsa selepas suaminya, 29, seorang kerani di sebuah sekolah rendah di Tatau menghubungi pihak pejabat untuk membantu mencari isterinya yang tidak menjawab telefon pada tengah hari kelmarin.

Stanley berkata tiada kecederaan fizikal pada tubuh mangsa namun 'body view' yang dilakukan oleh Bahagian Forensik Hospital Sibu mendapati ada beberapa kesan lebam di anggota badan dan bibir bahagian atas mangsa bengkak.

Siasatan polis, katanya tiada menunjukkan kesan pecah masuk di kediaman mangsa dan tiada kehilangan barang-barang berharga di bilik mangsa.

Sehubungan itu, beliau menyangkal laporan dalam media sosial bahawa mangsa juga telah diperkosa sebelum dibunuh.

"Apa yang dikatakan dalam media sosial bahawa dia telah dirogol adalah tidak benar sehingga bedah siasat ke atas mayat dijalankan, "katanya sambil menambah bahawa ahli patologi dari Kuching akan melakukan bedah siasat sama ada petang ini atau esok.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki yang dicari polis tersebut diminta untuk menghubungi polis di talian 084-336144 atau pegawai penyiasat kanan, ASP Sylvarius Gopog di 013-8637241.
 

  • oleh
  • Advertisement